Peniaga, penjaja kecil diingatkan jangan salah guna lesen PBT - Nga Kor Ming

Bernama
Jun 17, 2023 09:11 MYT
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) menyampaikan replika bantuan baik pulih rumah daif bandar kepada penerima Jufinas Ibrahim pada Program Fiesta Teluk Intan: Komuniti Bandar Dekat Di Hati di Dataran Menara Condong. BERNAMA
TELUK INTAN: Peniaga dan penjaja kecil diingatkan supaya tidak menyalahgunakan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) atau berdepan tindakan penguatkuasaan undang-undang, tegas Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Nga berkata selaras dengan prinsip dan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu membela nasib penjaja dan peniaga kecil tempatan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), PBT yang lain di seluruh negara juga akan menyusuli langkah berkenaan.
"Kita sambut baik prinsip dan komited Perdana Menteri itu, justeru semua pihak diingatkan tidak menyalahgunakan lesen PBT, jika ada yang menyewakan (lesen) kepada warga asing, penguatkuasaan tindakan undang-undang akan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar: Fiesta Teluk Intan, Komuniti Bandar Dekat Dihati di sini hari ini.
Khamis lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa DBKL akan menarik balik lesen perniagaan penjaja yang memberikan lesen berkenaan kepada pihak lain, termasuk warga asing.
Anwar berkata pihaknya bersama DBKL sedang merangka kaedah bagi memastikan peraturan itu dipatuhi, dalam memastikan ia memberi manfaat kepada peniaga tempatan.
-- BERNAMA
#peniaga dan penjaja kecil #salah guna lesen PBT #KPKT #Nga Kor Ming