[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Peniaga rokok elektronik di Kelantan berselindung di sebalik perniagaan lain - Exco

Bernama 11/08/2025 | 09:40 MYT
Taktik berkenaan dipercayai digunakan bagi mengelakkan jualan tanpa lesen sah itu dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Peniaga rokok elektronik atau vape di Kelantan dikesan menjalankan perniagaan mereka dengan berselindung di sebalik premis yang berdaftar atas nama perniagaan lain seperti kedai elektronik, kedai minyak wangi dan aksesori telefon.


Ringkasan AI
  • Peniaga vape dikesan berselindung di sebalik premis berdaftar seperti kedai elektronik dan aksesori telefon bagi mengelak tindakan pihak berkuasa kerana tiada lesen sah.
  • PBT bersama agensi berkaitan mempergiat operasi pemeriksaan dan rampasan, dengan 65 operasi dijalankan sehingga Julai melibatkan lebih 2,400 peranti dan 42,000 cecair nikotin.
  • Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen penjualan produk tersebut dan akan terus melaksanakan operasi berterusan bagi mengekang aktiviti penjualan yang berleluasa.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata taktik berkenaan dipercayai digunakan bagi mengelakkan jualan tanpa lesen sah itu dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama agensi berkaitan kini mempergiat operasi pemeriksaan dan pengesanan bagi membanteras aktiviti penjualan rokok elektronik tidak sah termasuk jualan cecair nikotin tanpa lesen sah.

"Tindakan itu dilihat sebagai cubaan untuk mengaburi pihak berkuasa apabila premis terbabit kelihatan seperti menjalankan operasi biasa, namun sebenarnya menjual produk rokok elektronik secara tersembunyi tanpa lesen sah.

"Kami (kerajaan negeri) setakat ini tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen untuk masyarakat menjual produk ini. Bahkan, kami akan melaksanakan operasi secara berterusan untuk terus mengekang jualan produk ini daripada terus berleluasa di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Op Selamat Paru-Paru Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Ahmad Faris Awang.

Mengulas lanjut, Hilmi berkata setakat Julai lepas, sebanyak 65 operasi rampasan rokok elektronik dilakukan di seluruh negeri dengan jumlah rampasan sebanyak 2,425 unit peranti dan 42,159 cecair nikotin.

"Majlis Perbandaran Kota Bharu merekodkan jumlah rampasan paling tinggi iaitu 21,500 unit peranti termasuk cecair nikotin, diikuti Majlis Daerah Tanah Merah (2,274 unit), Majlis Daerah Tumpat (9,767 unit) dan Majlis Daerah Pasir Puteh (137 unit).

"Kebiasaannya, peniaga yang dikesan menerusi operasi yang dilaksanakan ini tidak akan serik memandangkan jualan produk ini memberi keuntungan besar. Jika terkena, mereka akan menukar pendaftaran premis dengan perniagaan lain untuk memulakan semula jualan produk itu walaupun telah dikenakan kompaun sehingga maksimum RM2,000," katanya.

-- BERNAMA



#peniaga vape #Kelantan #Hilmi Abdullah #larangan jual vape