MALAYSIA
Peniaga rugi hampir RM1 juta ditipu sindiket tawaran tender tidak wujud
Mangsa telah membuat bayaran deposit ke dua akaun bank berbeza berjumlah RM932,300 menggunakan wang syarikat dan simpanan sendiri. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga lelaki terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM932,300 selepas ditipu sindiket tawaran tender tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 28 Mei lepas mangsa yang berusia 52 tahun menerima pesanan WhatsApp daripada seorang suspek lelaki yang mendakwa sebagai wakil sebuah kolej di daerah Kemaman.
Beliau berkata suspek menawarkan tender tertutup bagi membekal dan menghantar alat jana kuasa jenis mudah alih kepada mangsa.
"Mangsa telah membuat bayaran deposit ke dua akaun bank berbeza berjumlah RM932,300 menggunakan wang syarikat dan simpanan sendiri.
"Bagaimanapun, setelah membuat semakan dengan pihak kolej, mangsa mendapati tiada tawaran tender dibuka seperti didakwa suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa membuat laporan polis pada 11.53 malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA