MALAYSIA
Peniaga rugi hampir RM200,000 diperdaya sindiket penipuan tempahan tidak wujud
Menurut Azli (gambar) kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga kerugian RM175,452.80 diperdaya sindiket penipuan tempahan barangan tidak wujud, kata Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Azli Mohd Noor.
Ringkasan AI
- Mangsa ditipu projek palsu: Seorang peniaga berusia 50 tahun kerugian RM175,452.80 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan projek palsu membekal barangan ke Kolej Universiti Bestari (KUB), Setiu.
- Modus operandi sindiket: Mangsa diperkenalkan kepada suspek wanita yang menyamar sebagai wakil kementerian dan pembekal, lalu membuat bayaran berperingkat ke beberapa akaun bank.
- Kes disiasat polis: Setelah menyedari tempahan tidak wujud dan suspek bukan pegawai sah, mangsa membuat laporan polis; kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan
Beliau berkata pada 3 Jun lepas, mangsa lelaki berusia 50 tahun itu dihubungi oleh adik angkatnya yang memaklumkan dia ditawarkan projek membekal barangan sukan oleh Pejabat Kementerian Belia dan Sukan Putrajaya ke Kolej Universiti Bestari (KUB), Setiu.
Beliau berkata atas sebab kekangan kewangan, adik angkat mangsa tidak dapat menerima projek berkenaan dan menawarkannya kepada mangsa.
"Mangsa bersetuju menerima projek untuk menghantar tempahan barangan ke KUB pada 8 Jun.
"Pada masa sama, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek wanita yang ingin membuat tempahan barangan lain pula seperti kurma, keris, dan plat. Suspek telah memberikan mangsa nombor telefon pembekal untuk dihubungi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa kemudian menghubungi suspek yang menyamar sebagai pembekal dan membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM175,452.80 ke beberapa akaun yang diberikan.
Bagaimanapun setelah diperiksa, mangsa mendapati suspek bukan petugas daripada pejabat Kementerian Belia dan Sukan Putrajaya seperti yang didakwa dan tempahan berkenaan juga tidak wujud.
"Mangsa membuat laporan polis pada 12.32 tengah hari semalam. Sumber kewangan mangsa ialah wang simpanan sendiri dan kenalannya yang juga rakan kongsi perniagaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA
#peniaga rugi
#Kuala Terengganu
#sindiket penipuan tempahan tidak wujud
#Kementerian Belia dan Sukan