MALAYSIA

Peniaga rugi lebih RM277,000 akibat pelaburan tidak wujud

Bernama 24/01/2026 | 12:30 MYT
Yahaya berkata mangsa kemudian telah membuat pelaburan berjumlah RM1,000 dan RM70,000 serta menerima pulangan keuntungan sebanyak RM175 dan RM12,300. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUANTAN: Seorang peniaga kerugian lebih RM277,000 akibat terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp.


Ringkasan AI
  • Peniaga rugi lebih RM277,000 terperdaya dengan pelaburan palsu melalui WhatsApp.
  • Mangsa berusia 52 tahun terlibat dalam pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat selepas diperkenalkan dengan aplikasi WhatsApp.
  • Peniaga membuat pelaburan berjumlah RM1,000 dan RM70,000, tetapi tidak menerima pulangan seperti yang dijanjikan, akhirnya menyedari penipuan dan membuat laporan polis.


Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 52 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi berkenaan sebelum ditawarkan satu pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

Beliau berkata mangsa kemudian telah membuat pelaburan berjumlah RM1,000 dan RM70,000 serta menerima pulangan keuntungan sebanyak RM175 dan RM12,300.

"Keuntungan yang diterima telah dilaburkan semula oleh lelaki berkenaan, sebelum mangsa diyakinkan untuk meneruskan pelaburan dengan jumlah yang lebih besar.

"Sepanjang tempoh 8 hingga 12 Jan lepas, mangsa telah membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza menggunakan sumber kewangan simpanan sendiri, hasil perniagaan dan pinjaman daripada isteri serta kenalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata mangsa gagal menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan dan diberi pelbagai alasan oleh pihak terlibat sebelum menyedari ditipu.

Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


#WhatsApp #pelaburan #laporan polis #peniaga