Peniaga ugut pegawai kesihatan persekitaran dengan pisau didenda RM2,500

Bernama
Februari 14, 2022 08:14 MYT
Peniaga makanan Tang Keng Su, 56, didenda RM2,500 di Mahkamah Majistret Seri Manjung selepas mengaku bersalah membuat ugutan dengan mengacukan pisau kepada pegawai kesihatan pada bulan lepas. - Bernama
LUMUT: Seorang peniaga makanan didenda RM2,500 di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat ugutan dengan mengacukan pisau kepada pegawai kesihatan persekitaran pada bulan lepas.
Tang Keng Su, 56, dijatuhi hukuman itu setelah membuat pengakuan itu di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.
Majistret turut memerintahkan Tang dikenakan penjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu.
"Tiada rekod lampau, saya bagi denda tetapi jangan ulang lagi kesalahan macam ini, saya boleh penjara kamu sampai dua tahun... jangan ulang lagi," katanya.
Tang dituduh mengugut pegawai kesihatan persekitaran, Mohd Amin Aminuddin, 32, untuk mendorong penjawat awam itu daripada melakukan atau melengahkan melakukan apa-apa perbuatan berhubung dengan perjalanan kerjanya dengan mengacukan sebilah pisau.
Tang didakwa melakukan kesalahan itu di gerai di Looking Good Hawker Centre Kampung Koh Sitiawan di sini pada kira-kira 9.30 malam, 25 Januari lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 189 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Insp Nurjihan Jaya memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada Tang supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Bagaimanapun Tang yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda minimum atas alasan mempunyai masalah jantung dan kencing manis selain perniagaan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan serta perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah.
Tang turut memaklumkan sudah memotong kuku dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama apabila disoal A Hafiizh.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian pasukan kesihatan yang membuat pemeriksaan mendapati peniaga itu melakukan kesalahan termasuk berkuku panjang dan memakai cincin namun Tang terus menjadi marah sambil mengacukan pisau pemotong ke arah pegawai terbabit.
Susulan itu, operasi pemeriksaan yang dijalankan terpaksa diberhentikan kerana pegawai kesihatan terbabit menjadi takut dan trauma dengan tindakan Tang sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
-- BERNAMA
#ugut pegawai kesihatan #peniaga makanan #mahkamah #denda