SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Peningkatan jumlah sungai dalam kategori bersih, langkah pemuliharaan diperkukuh - TPM Fadillah

Asyraf Malik 21/08/2025 | 11:28 MYT
Datuk Seri Fadillah Yusof memberikan perkembangan mengenai tindakan pemuliharaan sungai menerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS), di Kuala Lumpur pada Khamis. - Astro AWANI/Ikqwan Lee
KUALA LUMPUR: Sebanyak 475 daripada 672 sungai utama di seluruh negara dikenal pasti dalam kategori bersih, sekali gus menunjukkan peningkatan positif terhadap kualiti air negara.

Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tahun 2024, sejumlah 170 sungai dikategorikan sederhana tercemar manakala 27 sungai memasuki kategori tercemar.

Perkembangan ini dikongsikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bil. 2/2025 yang dipengerusikan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini pada Khamis.

“Alhamdulillah, ada peningkatan daripada segi kualiti sungai negara kita. Setakat ini tiada sungai berada dalam kategori 5, iaitu sangat tercemar.

"Namun, masih ada beberapa sungai yang memerlukan perhatian khusus agar dapat dipulihkan ke tahap sederhana,” kata Fadillah ketika ditemui pengamal media selepas mesyuarat.

Faktor penyumbang pencemaran sungai antaranya loji kumbahan primitif yang belum dinaik taraf, tangki septik individu dan komunal tidak dikosongkan secara berkala, aktiviti penternakan, pertanian, pasar basah serta industri.

Antara parameter utama pencemaran yang dikenal pasti adalah Biochemical Oxygen Demand, Chemical Oxygen Demand, Ammonia Nitrogen, Total Suspended Solids dan Dissolved Oxygen.

Jelas Fadillah, bengkel khusus akan dianjurkan bagi memperincikan piawaian pelepasan air daripada sistem perparitan sebelum dialirkan ke sungai.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyelaras bengkel bersama kementerian lain dan kerajaan negeri bagi memastikan setiap longkang dan sistem perparitan dilengkapi tapisan supaya pencemaran tidak terus memasuki sungai.

"Pelbagai teknologi tapisan akan dimanfaatkan supaya air sungai selamat untuk riadah dan rekreasi, serta bagi kegunaan harian rakyat seperti minuman dan makanan,” ujar beliau.

Mesyuarat turut mencadangkan piawaian baharu pelepasan efluen air sisa bandar dan luar bandar berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM).

Piawaian tersebut merangkumi 11 parameter utama termasuk nilai pH, Biochemical Oxygen Demand, Chemical Oxygen Demand, pepejal terampai, minyak, gris, nitrogen, merkuri, warna dan sisa pepejal.

Selain itu, teknologi tempatan dibangunkan NAHRIM juga akan diketengahkan, antaranya pengekstrak beban terampai, perangkap minyak dan gris berasaskan teknologi Internet Kebendaan (IoT) serta sistem Intriguard bagi menanda rizab sungai untuk mengelak pencemaran luar.


#Petra #NAHRIM #pencemaran sungai #kategori sungai bersih #pemuliharaan sungai