KUALA LUMPUR: Peningkatan kes harian COVID-19 sehingga lebih 7,000 kes hari ini berpunca daripada gelombang Omicron.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan gelombang daripada varian tersebut tidak memberi kesan gejala yang teruk.

Justeru, beliau mengingatkan agar rakyat di negara ini tidak terlalu risau dengan situasi berkenaan.

"Tetapi jika dibandingkan dengan sebelum ini seperti Delta, gelombang ini tidak menyebabkan gejala yang seteruk mana, terutamanya apabila 99 peratus daripada penduduk dewasa sudahpun divaksinasi.

"Jadi kalau melihat kepada kemasukan hospital, dari segi kadar kematian.. ia masih rendah dan terkawal.

"Ini sebenarnya menjadi indikator data yang penting untuk kita, saya sentiasa menyatakan, ya sudah tentu kita risau jika kes terlalu tinggi.

"Tetapi kes boleh rendah sebab kebolehjangkitan Omicron adalah lagi tinggi dan kita sudah membenarkan beberapa kelonggaran untuk pulihkan ekonomi kita.

"Yang penting kita usahakan supaya mereka yang berisiko tinggi, warga emas dan komorbiditi yang serius dapat dijaga dan dirawat dengan baik," katanya ketika berucap pada program “How to Cope with Cancer" di  Sunway Pyramid Convention Centre, pada Jumaat.

Khairy menambah, dengan kerjasama semua pihak, beliau yakin gelombang Omicron dapat diatasi.

Mengenai risiko kepada pesakit kanser, Khairy berkata antara agenda Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah untuk memastikan pelindungan kepada kumpulan tersebut dan keluarga mereka diberikan keutamaan dari segi vaksinasi.

Katanya, KKM telah bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk pelindungan yang sewajarnya kepada pesakit-pesakit kanser.

"Kita akan terus memastikan bahawa pesakit-pesakit kanser dapat diberikan pelindungan termasuk dalam pemberian dos penggalak ataupun melalui pelbagai rawatan untuk COVID-19," ujar beliau.

Tegas Khairy lagi, pelindungan kepada golongan paling tinggi risiko disifatkan penting untuk negara keluar daripada pandemik COVID-19.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 7,234 kes baharu COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.