LANGKAWI: Minat untuk penglibatan dalam hubungan dua hala, pelaburan dan perdagangan antara negara dan syarikat yang terlibat dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '23) meningkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan positif ini tidak hanya ditunjukkan pada sektor aeroangkasa tetapi juga sektor maritim.

"Pada LIMA kali ini, kami melihat peningkatan minat dan penglibatan bukan hanya untuk mengukuhkan hubungan dua hala tetapi juga dari segi pelaburan dan perdagangan dalam kalangan rakan kongsi.

Inilah yang kami capai dalam beberapa hari lepas dan insya-Allah dalam sehari atau dua hari lagi (LIMA '23) penglibatan ini akan menjadi lebih kuat, prestasi bukan hanya daripada aeroangkasa tetapi juga dalam sektor maritim, kata beliau dalam ucapannya semasa Resepsi Persidangan Maritim Antarabangsa bersempena LIMA '23 di sini malam ini.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Selain itu, Anwar berkata hubungan terjalin antara Malaysia dan negara-negara yang menyertai LIMA sebelum ini kekal utuh, terutamanya antara negara anggota ASEAN, Turkiye, Amerika Syarikat, Rusia dan Romania.

"Keseluruhan tujuan LIMA -- terutamanya untuk sektor maritim dan aeroangkasa - ialah memastikan kami meneruskan penglibatan dengan negara lain secara bermakna, bagi mengukuhkan keupayaan pertahanan kami," katanya.

LIMA '23 yang bertemakan "Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia" yang bermula semalam sehingga 27 Mei ini dijangka menarik kehadiran lebih 45,000 pelawat perdagangan dan 250,000 pengunjung awam.

Acara dwitahunan itu disertai lebih 525 pempamer termasuk 140 syarikat dalam industri pertahanan, 101 syarikat dalam sektor komersial dan 284 syarikat daripada kedua-dua sektor.

Acara itu turut menyaksikan 18 negara mewujudkan pavilion termasuk Australia, China, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Belanda, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.

-- BERNAMA