ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
MALAYSIA

Penipuan dalam talian: Polis tumpaskan dua sindiket berlainan, 24 suspek ditahan

Madiha Abdullah 22/09/2025 | 10:30 MYT
Ketua Polis Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman dalam sidang media pada Isnin. - Foto Ikqwan Lee
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di kondominium mewah sekitar ibu negara menerusi dua serbuan berasingan minggu lalu.


Ringkasan AI
  • Polis menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di kondominium mewah sekitar KL, melibatkan penipuan e-dagang menyasar mangsa dari China dan pelaburan kripto palsu menyasar mangsa dari Jepun.
  • Serbuan pada 18 dan 19 September menahan 24 suspek (23 warga asing, 1 tempatan) berusia 18 hingga 40-an; mereka dipercayai masuk menggunakan pas lawatan sosial dan menjadikan unit kondominium sebagai pusat operasi.
  • Polis merampas komputer riba, telefon bimbit, modem dan kad akses, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan; orang ramai diminta lapor aktiviti mencurigakan di kediaman mewah.


Dalam serbuan pertama pada 18 September lalu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Dang Wangi serta Cawangan Integriti & Pematuhan Standard menyerbu dua unit kediaman di Lorong Binjai.

Hasil operasi itu, polis menahan 13 warga asing dan seorang warga tempatan berusia 18 hingga pertengahan 40-an. Pemeriksaan menunjukkan unit berkenaan dijadikan pusat operasi sindiket penipuan yang menyasarkan mangsa dari China.

Semua suspek direman sehingga 25 September bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam serbuan kedua sehari kemudian, lima unit kediaman mewah di KLCC diserbu, dengan 10 warga asing berusia awal 20-an hingga pertengahan 30-an ditahan kerana disyaki menjalankan penipuan pelaburan kripto tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari Jepun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kesemua suspek dipercayai memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial dan menjadikan unit kondominium terbabit sebagai pusat operasi selain tempat tinggal.

“Kebanyakan mereka ini menyewa di kondominium mewah secara beramai-ramai.

"Saya memohon jasa baik penduduk khususnya kondominium mewah, jika mendapati ada kemasukan warga asing yang ramai dan nampak mencurigakan, boleh berhubung dengan pihak polis," katanya dalam sidang media pada Isnin.

Antara yang dirampas dalam kedua-dua serbuan ialah beberapa unit komputer riba, telefon bimbit, modem router, monitor dan kad akses.

Semua suspek kini direman sehingga 23 September bagi membantu siasatan lanjut.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.




#penipuan dalam talian #sindiket #China #Jepun #warga asing