[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Penipuan pakej haji: Sultan Selangor murka, titah tindakan tegas diambil segera

Firdaus Azil 07/06/2025 | 07:15 MYT
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah menzahirkan kemurkaan dan kebimbangan baginda atas peningkatan kes penipuan pakej haji di negara ini.
KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menzahirkan kemurkaan dan kebimbangan baginda atas peningkatan kes penipuan pakej haji di negara ini.

Ringkasan AI
  • Sultan Selangor menzahirkan kemurkaan dan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji, khususnya melibatkan jemaah yang terkandas selepas menggunakan visa pelancong.
  • Baginda menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap individu atau syarikat yang terlibat, manakala MAIS menggesa mangsa membuat laporan polis dan menyemak latar belakang ejen haji melalui saluran rasmi seperti Tabung Haji.
  • MAIS turut menasihati umat Islam agar berhati-hati dengan tawaran pakej haji yang mencurigakan dan memastikan urusan ibadah dilakukan hanya melalui ejen berlesen bagi menjaga kesucian ibadah dan keselamatan jemaah.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin berkata, baginda telah menitahkan agar mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang terlibat dalam penipuan tersebut, diambil tindakan tegas oleh pihak polis dan pihak berkuasa.
Beliau berkata, kejadian terbaharu melibatkan 80 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) amat mengecewakan baginda, memandangkan ada dalam kalangan mereka yang menjual aset atau tanah mereka, selain berusaha keras demi mencapai impian menunaikan rukun Islam kelima.
“Susulan titah baginda tersebut, MAIS juga menggesa agar mangsa penipuan ini segera membuat laporan polis dan memberi segala maklumat agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan segera ke atas sindiket serta individu yang terlibat.
“Tindakan tegas dengan mengheret mereka ke mahkamah adalah bagi memastikan supaya gejala buruk dan tidak bertanggungjawab ini dapat segera dibenteras bagi menyelamatkan umat Islam dari ditipu,” katanya lagi.
Pada 3 Jun lepas, media melaporkan kira-kira 80 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas didapati menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman setakat, pihaknya menerima tujuh laporan daripada bakal jemaah berkenaan.
Susulan itu polis telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita untuk membantu siasatan. Kedua-dua suspek yang berusia 36 dan 39 tahun itu direman selama sehari, sebelum dilepaskan dengan jaminan.
Dalam pada itu Salehuddin berkata, MAIS menyarankan umat Islam untuk menyemak latar belakang serta kelulusan penyedia perkhidmatan ibadah haji, dengan mendapatkan pengesahan senarai Pengelola Jemaah Haji berlesen dengan Lembaga Tabung Haji.
Selain itu beliau menasihati bakal Jemaah untuk berhati-hati dengan tawaran pakej yang terlalu murah atau percuma, selain melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“MAIS menyeru agar orang ramai sentiasa memelihara kesucian ibadah haji dengan memastikan setiap urusan dijalankan dengan ejen dan syarikat yang berlesen serta diiktiraf oleh pihak berkuasa untuk mengendalikan urusan haji dan umrah.
“MAIS juga menyeru umat Islam yang berhasrat menunaikan haji agar sentiasa mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi bagi memastikan ibadah haji berjalan lancar, serta terjamin keselamatannya,” katanya lagi.
#penipuan pakej haji #Sultan Selangor murka #MAIS #PDRM