KUALA LUMPUR: Polis menahan sembilan individu termasuk seorang lelaki yang menggunakan gelaran "Datuk Seri" palsu kerana disyaki terbabit sindiket penipuan pelaburan tidak wujud, Planetrade, dalam beberapa serbuan Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata semua suspek termasuk enam wanita berusia 41 hingga 62 tahun ditahan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata polis menerima 21 laporan berhubung penipuan itu, yang terdiri daripada 12 laporan di Kuala Lumpur, lima di Selangor, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Melaka dan Terengganu, melibatkan kerugian sebanyak RM3.32 juta.

"Siasatan mendapati lelaki yang yang menggunakan gelaran 'Datuk Seri' palsu berusia 46 tahun itu merupakan dalang utama kes ini yang memiliki empat syarikat bagi menjalankan kegiatan pelaburan tidak wujud.

"Suspek lain merupakan agen atau aktif mengendalikan syarikat-syarikat, dan kesemua mereka direman dua hingga empat hari bermula 2 Mac bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini, hari ini.

Beliau berkata 27 akaun disyaki berkaitan kes itu berjumlah RM755,0000 serta pemilikan saham dalang utama itu di empat syarikat berkenaan dibekukan, bagi membantu siasatan.

Mohd Kamarudin berkata turut dirampas semasa serbuan ialah enam kereta mewah antaranya sebuah Bentley, dua Toyota Vellfire, sebuah Mercedez Benz GLC 200 dan pelbagai dokumen pendaftaran syarikat serta berkaitan pelaburan.

"Siasatan mendapati sindiket ini mula beroperasi sejak Januari 2021 dan menawarkan pembelian saham keutamaan atau 'preference share' yang menjanjikan kadar keuntungan tetap sekitar empat hingga lima peratus sebulan dari modal yang dilaburkan.

"Pelabur turut diyakinkan wang pelaburan dilabur dalam pelbagai medium pelaburan patuh syariah dalam dan luar negara bagi menjamin keuntungan yang besar dan stabil," katanya.

Beliau berkata siasatan itu turut mendapati ada seorang pelabur mengalami kerugian mencecah RM4.6 juta, tetapi mangsa belum tampil membuat laporan polis.

Jelasnya pada peringkat awal, pelabur akan menerima keuntungan bulanan yang dijanjikan namun setelah beberapa bulan, sindiket itu tidak lagi berkomunikasi dengan mangsa.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

-- BERNAMA