MALAYSIA
Penipuan skim FCPO: Lelaki dihukum penjara 20 tahun, denda RM9 juta

Tertuduh mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 206(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. - Pexels
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 20 tahun dan denda RM9 juta ke atas seorang pedagang niaga hadapan kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen dan penipuan derivatif.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman itu semalam selepas Mohd Azhidi Laili mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 206(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Menurut SC, tertuduh dihukum penjara dua tahun dan denda RM1 juta bagi setiap pertuduhan, dengan hukuman penjara berjalan serentak.
"Jika Mohd Azhidi tidak membayar denda, dia berdepan hukuman penjara tambahan selama 27 bulan selepas selesai menjalani hukuman penjara," menurut kenyataan itu.Mohd Azhidi, yang telah menyamar sebagai pedagang niaga hadapan, didakwa melakukan kesalahan itu antara Mei 2013 dan Mac 2014 di Kuala Lumpur.
"Mengikut fakta kes yang diakui Mohd Azhidi, dia telah menipu sembilan mangsa dengan jumlah keseluruhan RM1.45 juta melalui skim pelaburan niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) di bawah AmFutures Sdn Bhd yang tidak wujud," menurut suruhanjaya itu.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Mohd Azhidi selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 58(1) akta sama kerana memperkenal diri sebagai wakil AmFutures Sdn Bhd tanpa memiliki atau berdaftar sebagai individu yang dibenarkan menjalan urus niaga derivatif yang berjalan serentak dengan hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 206(b).
Menurut SC, Mohd Azhidi telah didakwa pada 14 Feb 2022 iaitu dua hari selepas ditahan dan dia telah minta dibicarakan atas semua kesalahan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin serta diarah menyerahkan pasport dan melapor diri kepada pegawai penyiasat setiap bulan.
"Perbicaraan telah berlangsung dari Februari 2023 hingga Mac 2025 dan selepas itu, tertuduh telah menukar pengakuannya.
"Seramai 28 saksi pendakwaan termasuk tujuh mangsa telah memberi keterangan di mahkamah setakat ini," menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu turut memaklumkan bahawa jaminan tertuduh telah dibatalkan oleh mahkamah pada 21 Mei 2024 selepas dia gagal hadir ke mahkamah bagi sebutan dua kes selain gagal melapor diri kepada pegawai penyiasat SC.
Mahkamah turut mengarahkan agar hukuman penjara Mohd Azhidi bermula dari tarikh jaminan terhadapnya dibatalkan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SC Mohd Izuddin Mohamad serta pegawai pendakwa Quek Yiing Huey, Raihana Nadhira Rafidi, Eunice Ong Jo Xing dan Mark Rohan Mahadevan manakala Mohd Azhidi diwakili peguam Al-Sabri Ahmad Kabri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami