Penipuan SMS: Bekas pegawai syarikat telekomunikasi dan pengarah syarikat swasta direman

Fareez Azman
November 17, 2020 06:07 MYT
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 49 dan 42 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM pada Isnin selepas hadir memberi keterangan. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Dua individu yang juga bekas Ketua Pegawai Pemasaran sebuah syarikat telekomunikasi dan seorang pengarah syarikat swasta direman selama lima hari di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini pada Selasa.
Kedua-dua individu itu direman bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan sindiket penipuan SMS di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Roslizawati Mohd Zain selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan reman pada pagi Selasa.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 49 dan 42 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM pada Isnin selepas hadir memberi keterangan.
Mereka dipercayai telah memberi dan menerima rasuah bagi tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan pelan prabayar.
Sehingga kini, 16 individu telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes terbabit sejak 10 November lalu.
Sindiket terbabit dipercayai mengenakan bayaran langgan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa pengetahuan dan persetujuan pengguna.
#SPRM #Putrajaya #mahkamah #Mahkamah Majistret #sindiket #sindiket penipuan SMS