Penjaja Pantai Tanjung Aru mohon dibenar beroperasi

Bernama
April 18, 2021 22:43 MYT
Dahlan berkata pada masa ini terdapat 64 gerai di situ dengan kebanyakannya menjual makanan. --fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Peniaga di Pantai Tanjung Aru Satu merayu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) agar membenarkan mereka beroperasi semula berikutan semua persiapan telah disediakan.
Menurut mereka, ini kerana mereka menerima notis penutupan operasi tersebut pada saat-saat akhir.
"Kami akan pastikan setiap peniaga dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, selain meminta bantuan pihak berkuasa memantau tahap pematuhan itu," kata Pengerusi Persatuan Penjaja Pantai Tanjung Aru Satu Dahlan Jahsiri kepada Bernama semalam.
Dahlan berkata pada masa ini terdapat 64 gerai di situ dengan kebanyakannya menjual makanan.
Pada Sabtu, DBKK mengeluarkan arahan agar semua pasar malam dan pasar minggu di bawah bidang kuasanya ditutup selama dua minggu berkuat kuasa serta-merta bagi mengekang penularan COVID-19.
Seorang peniaga, Shamsudin Bora, 50, berkata notis saat akhir itu memberi kesan besar ke atas mereka.
"Notis (penutupan) diberi malam semalam, dan kami pun telah membeli semua makanan yang boleh basi. Jika ini tidak dijual, ia boleh membawa kerugian kepada kami.
"Kami meminta simpati kepada kerajaan agar gerai-gerai ini dibuka kembali secepat mungkin, supaya dapat menjalankan perniagaan kembali yang telah terjejas disebabkan COVID-19," katanya.
Sementara itu, Hanifah Nayan, 70, berkata penutupan operasi tersebut menjejaskan pendapatan mereka yang rata-rata bergantung sepenuhnya pada gerai berkenaan.
"Benarkanlah kami beroperasi semula secepat mungkin," katanya.
-- BERNAMA
#peniaga #penjaja #Pantai Tanjung Aru Satu #DBKK #memohon #kebenaran #berniaga semula #persiapan #Persatuan Penjaja Pantai Tanjung Aru Satu #Dahlan Jahsiri