NATIONAL
Penjaja terjejas akibat sistem trafik sehala di Tapah, dipindah ke tapak baharu - MB

Saarani menjelaskan, pelaksanaan sistem penyuraian trafik tidak dapat ditarik semula memandangkan kerja-kerja naik taraf telah dilaksanakan sebelum ini. - Gambar fail
TAPAH: Lebih 100 penjaja di sekitar pekan Tapah yang terjejas akibat pelaksanaan sistem jalan sehala di sini akan dipindahkan ke penempatan baharu, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak dapat menarik semula pelaksanaan sistem penyuraian trafik berkenaan memandangkan kerja-kerja naik taraf telah dilaksanakan sebelum ini.
"Kita telah mendapat persetujuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Daerah Batang Padang untuk mereka berpindah ke tapak baharu yang disediakan Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang.
"Dalam masa terdekat kita akan tahu keputusan (tapak baharu), mungkin dalam tiga atau empat hari lagi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program KPKM INC dan Riang Ria Raya Jabatan Pertanian Negeri Perak 2025 di sini hari ini.Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengarah Pertanian Perak Norsiyenti Othman.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Batang Padang telah melancarkan sistem jalan sehala melibatkan Jalan Persekutuan FT 001 (Seksyen 539-540) dan Jalan Majlis di pekan Tapah dengan dua lampu isyarat ditutup bagi melancarkan aliran trafik bermula 23 Ogos 2024.
Bagaimanapun perkara itu didakwa telah menyulitkan peniaga dan penjaja kecil di sepanjang laluan berkenaan yang mendakwa kerugian akibat kekurangan pembeli sejak pelaksanaan sistem berkenaan.
Permasalahan itu turut mendapat perhatian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Allahyarham Ishsam Shahruddin yang memperjuangkan nasib penjaja yang terkesan melalui sesi dialog dan perjumpaan persatuan penjaja dengan pihak berkepentingan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan pada Oktober menyatakan Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan RM2.5 juta sebagai peruntukan fasa jangka pendek bagi kerja-kerja penambahbaikan agar laluan berkenaan lebih terurus dan tidak membahayakan pengguna.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami