Skip to main content

Malaysia

Penjara 30 tahun, 12 sebatan kerana bunuh lelaki enam tahun lalu

Yew Lung dibawa keluar oleh anggota polis dari mahkamah Tinggi Muar pada Rabu. -- SINAR HARIAN
Yew Lung dibawa keluar oleh anggota polis dari mahkamah Tinggi Muar pada Rabu. -Foto Sinar Harian
Advertisement

MUAR: Seorang bekas pekerja kedai telefon bimbit dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki menggunakan besi dalam pergaduhan, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membuat keputusan di akhir pembelaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Lim Yew Lung, 32.

Ketika membaca keputusan ringkas ketika akhir pembelaan, Meor Hashimi berhujah, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan hujahan bertulis dan lisan daripada pihak pendakwaan serta pembelaan.

"Mahkamah turut mempertimbangkan dan membuat penilaian maksimum terhadap keterangan dan kredibiliti saksi-saksi pembelaan (SP) iaitu tertuduh (selaku SP1), SP2 dan SP3 mengikut kehendak 182 (a) Seksyen Kanun Prosedur Jenayah.

"Mahkamah berpuas hati melalui pembelaan tertuduh dan SP2 serta SP3, gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Pembelaan tertuduh, SP2 dan SP3 tidak boleh dipercayai atau tidak diterima oleh mahkamah ini. Malahan, pembelaan tertuduh dan keterangan SP2 serta SP3 juga gagal membangkitkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes ini.

"Semua intipati atau elemen pertuduhan berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah oleh pihak pendakwaan," katanya.

Hujahnya lagi, secara keseluruhan di akhir kes pembelaan, mahkamah berpuas hati dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan kesalahan dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun bermula tarikh tangkap (29 Januari 2020) serta 12 sebatan," ujarnya.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh diwakili peguam R K Balakrishnan.

Mengikut pertuduhan, Yew Lung didakwa membunuh Tsun Chin Kiang, 43, di kedai menjual peralatan telefon di Jalan Perwira 1, Taman Perwira di Muar, antara 1.41 pagi dan 4.15 pagi, 29 Januari 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa berada di kedai telefon sebelum tercetus pergaduhan dengan tertuduh, sekali gus menyebabkan mangsa cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Namun, selepas empat hari menerima rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement