Penjara dua tahun kalau langgar arahan kawalan pergerakan

Israr Khalid
Mac 17, 2020 21:57 MYT
Tangguh dahulu sebarang majlis perjumpaan sepanjang tempoh dua minggu ini. - Gambar fail
Sesiapa sahaja yang didapati berkumpul dalam mana-mana keramaian, walaupun sudah diarahkan untuk mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akan berdepan hukuman dua tahun penjara.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan, perkara itu terkandung dalam Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Kata KKM, ramai yang bertanyakan sama ada boleh atau tidak untuk mengadakan majlis walimatulurus atau resepsi perkahwinan, tahlil, kenduri dan sebagainya pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula hari ini.
“Jawapannya TIDAK dibenarkan. Kerana ia adalah satu perhimpunan sosial,” memetik kenyataan kementerian itu pada Selasa.
Menurut Seksyen 11(4) Akta 342, dibaca bersama Seksyen 24(a) Akta sama, keingkaran larangan adalah satu jenayah dan boleh dipenjarakan selama dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Sekiranya seseorang ditangkap untuk kali kedua melanggar arahan sama, tempoh penjara dinaikkan kepada lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Sepertimana diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, 18 Mac 2020 bermulanya tempoh PKP berkuatkuasa di seluruh negara susulan wabak COVID-19 yang sedang menghantui dunia ketika ini.
Sebagai usaha membendung penularan virus itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan garis panduan peraturan yang perlu dipatuhi.
Mesej penting ini perlu disebarkan kepada khalayak supaya virus ini dapat dihapuskan segera.
Selain daripada berkenaan majlis kenduri kahwin, banyak lagi soalan yang sering diajukan (FAQ) dalam memahami garis panduan peraturan PKP ini.
Antaranya, termasuk mengenai operasi premis perniagaan, pergerakan individu semasa tempoh itu dan bermacam-macam lagi.
Baca penjelasannya di sini:

Ini antara soalan lazim yang ditanya rakyat Malaysia berhubung Perintah Kawalan Pergerakan kepada pihak @MKNJPM Semoga bermanfaat. Pastikan kita #KekalTenang untuk #HapusCOVID19 pic.twitter.com/IziBo6aAN4

— Astro AWANI (@501Awani) March 17, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#COVID19 #garis panduan #HAPUSCOVID19 #KekalTenang #Kementerian Kesihatan #KKM #perintah kawalan pergerakan #PKP