PUTRAJAYA:Penjara Kepayan dan kawasan kuarters kakitangan Kampung Matambai di Kota Kinabalu merupakan lokasi terbaharu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula 20 Oktober hingga 2 November.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Yaakob memaklumkan, PKDP berkenaan membabitkan 3,511 penduduk termasuk banduan.

"Pelaksanaan PKPD ini membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 dilaksanakan.

"Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan Negeri Sabah yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri," katanya dalam sidang media hariannya, hari ini.

Beliau menambah, prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di penjara ketika ini adalah SOP baharu yang dibentangkan oleh Jabatan Penjara, dimana banduan akan ditempatkan di pusat transit terlebih dahulu sementara menanti keputusan saringan.

"Mereka akan terlebih dahulu ditempatkan di pusat transit selama 14 hari selepas menjalani saringan. Selepas didapati negatif barulah mereka akan dipindahkan ke penjara.

"Malah di penjara juga, mereka akan diasingkan di bilik khas selama lima hari. Inilah SOP baharu kita untuk memastikan hanya kes negatif sahaja ditempatkan dalam penjara," katanya.

Bagi banduan yang sudah berada di penjara pula, mereka akan menjalani saringan dan mereka yang didapati positif akan segera dihantar ke hospital untuk rawatan.