ALOR SETAR: Kesemua penjawat awam di negeri Kedah akan menerima Bantuan Khas Aidilfitri Kakitangan Awam Negeri Kedah sebanyak RM1,000 setiap orang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerusi hantaran di Facebook miliknya, memaklumkan kelulusan itu dibuat di dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, hari ini.

Beliau menyatakan, kelulusan berkenaan akan melibatkan semua kakitangan awam pelbagai peringkat dan jawatan melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai RM5.35 juta.

Dalam perkembangan sama, Sanusi memaklumkan bahawa Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Kedah turut akan menerima bantuan khas sempena Aidilfitri.

"Mesyuarat Exco juga meluluskan bantuan khas hari raya kepada Pengerusi dan Setiausaha JPKK seluruh negeri melibatkan 2,050 orang penerima dengan peruntukan RM307,500.

"Ia (bantuan khas berkenaan) akan disalurkan melalui Pusat Khidmat (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing," katanya.

Semalam, Kerajaan Pusat turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bantuan khas sebanyak RM250 juga akan disalurkan kepada pesara kerajaan.