JOHOR BAHRU: Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan salah guna kuasa, melibatkan suapan berjumlah RM13,480.20, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nurul Syahirah Omar, 31 tahun, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurul Syahirah didakwa menggunakan jawatannya sebagai Pembantu Tadbir Kerani Pengoperasian Gred N19 di Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Daerah Mersing, untuk mendapat suapan bernilai RM13,480.20 dalam mengemukakan sebut harga Amir Barakah Enterprise, melalui dokumen kajian pasaran.

Sebut harga terbabit adalah bagi membekalkan alat ganti bagi kenderaan, kelengkapan pejabat, kenderaan jabatan, alat serta kelengkapan elektrik dan elektronik, selain untuk tujuan pembaikan kenderaan jabatan dan penumpang, serta penyelenggaran alat kelengkapan penyiaran dan perhubungan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat JPS Daerah Mersing, antara Ogos hingga November 2020.

Kes dikendalikan pegawai pendakwa raya Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Faizzudin Abd Ra'fik.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kesemua pertuduhan, dengan seorang penjamin tempatan.

Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah dan perlu melapor diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Bahru, sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 16 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2019, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan.