MALAYSIA
Penjawat awam dilarang buat sebarang bentuk pernyataan awam
Ketetapan itu dinyatakan dalam surat edaran bertarikh 19 Jun 2025 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Pegawai awam tidak boleh secara lisan atau bertulis membuat sebarang pernyataan awam yang boleh memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan mengenai apa-apa isu.
Ringkasan AI
- Pegawai awam dilarang membuat pernyataan awam tanpa kebenaran bertulis, termasuk memuji atau mengkritik dasar dan keputusan kerajaan, berdasarkan Surat Edaran KPPA bertarikh 19 Jun 2025.
- Larangan merangkumi sebarang bentuk ulasan atau penyebaran maklumat yang boleh memudaratkan, memalukan atau memburukkan kerajaan, selaras dengan Subperaturan 19(1) dan 19(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993.
- Tindakan tatatertib termasuk buang kerja boleh dikenakan jika pegawai melanggar larangan tersebut; Ketua Jabatan diminta pastikan kawalan komunikasi awam dipatuhi di jabatan masing-masing.
Ketetapan itu dinyatakan dalam surat edaran "Larangan Membuat Pernyataan Awam Di Bawah Subperaturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993]" bertarikh 19 Jun 2025 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Menurut surat edaran itu, pengawai awam juga tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan.
Pengawai awam tidak boleh membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan; atau mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.
Menerusi subperaturan 19(2) pula, seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat apa-apa ulasan tentang kelebihan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan kerajaan.
"Mereka juga tidak boleh memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan penjalanan fungsi kerajaan dan memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan kerajaan.
"Pegawai awam juga tidak boleh menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain melainkan jika kebenaran bertulis, sama ada secara am atau khusus, (atau kebenaran) telah diperoleh terlebih dahulu daripada menteri," menurut surat edaran itu.
Ketua Jabatan diminta menasihati serta memastikan pegawai kementerian atau jabatan masing-masing agar berhemah dalam membuat apa-apa pernyataan, ulasan atau komen dan tidak sekali-kali menyebarkan maklumat palsu, berunsur hasutan, fitnah, provokasi, atau yang tidak dapat disahkan kebenarannya.
"Sekiranya pegawai didapati melakukan kesalahan tersebut, pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib sehingga dibuang kerja sebagaimana diperuntukkan di bawah P.U. (A) 395/1993," menurut surat edaran itu.
Surat edaran yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini, turut diedarkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
-- BERNAMA