Penjawat awam diseru bantu kerajaan majukan negeri, sejahterakan rakyat Sabah

Mirlen Axtius
Februari 28, 2023 10:51 MYT
Anwar (dua dari kiri) dan Hajiji (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan mock cek Sumbangan Kemanusiaan Gempa Bumi Turkiye-Syria.
KOTA KINABALU: Anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan diseru untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Sabah dalam usaha memajukan negeri serta mensejahterakan rakyatnya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sekarang adalah masanya untuk bekerja keras, membangunkan semula ekonomi negeri dan memajukan rakyat.
"Percayalah, setiap daripada kita menginginkan kerajaan yang stabil, negeri dan negara yang makmur, supaya kita dapat hidup dengan aman dan sentosa. Sebagai anggota perkhidmatan awam, kita seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap segala usaha bagi membina semula ekonomi negeri dan membela nasib rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan di Sabah, di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Majlis itu yang turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, merupakan perhimpunan penjawat awam terbesar, malah julung kalinya seorang PM hadir untuk menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam negeri ini.
Dalam mengorak langkah ke hadapan, Hajiji mengajak anggota perkhidmatan awam untuk melipat gandakan lagi usaha serta khidmat bakti kepada negeri, rakyat dan masyarakat.
Beliau berkata, sebagai jentera pelaksana dasar dan program pembangunan kerajaan, anggota perkhidmatan awam menjadi pemangkin bagi merealisasikan apa jua dasar dan perancangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
"Lipat gandakan usaha dengan pertanggungjawaban, jati diri dan iltizam yang tinggi dalam memikul amanah dan tanggungjawab dalam memastikan negeri ditadbir dan diurus dengan cemerlang, manakala rakyat dibela dengan sebaik-baiknya," tegasnya.
#Hajiji Noor #penjawat awam #sejahterakan rakyat #Sabah