[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
NATIONAL

Penjawat awam diseru lakukan perubahan untuk pulihkan semula keyakinan rakyat - KPPA

Bernama 17/04/2025 | 13:15 MYT
Wan Ahmad Dahlan mencadangkan penggunaan teknologi digital dan aplikasi pintar bagi mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan secara fizikal. - Gambar fail/Bernama
BUTTERWORTH: Penjawat awam diseru melakukan perubahan signifikan dalam cara bekerja dan menyampaikan perkhidmatan bagi memulihkan semula keyakinan masyarakat terhadap sektor awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata langkah itu sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan kecekapan dan kualiti dalam sistem penyampaian perkhidmatan negara.
Beliau berkata kebelakangan ini wujud krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat terhadap keupayaan perkhidmatan awam, khususnya berkaitan kelewatan dan mutu layanan, hingga menimbulkan komen negatif di media sosial.
"Justeru, penjawat awam perlu melakukan anjakan serta mencari kaedah baharu dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. Mereka tidak lagi boleh berasa selesa dengan cara kerja lama.
"Saya tidak mahu lagi mendengar rungutan tentang perkhidmatan yang lambat kerana kerajaan hari ini di bawah pimpinan Perdana Menteri menekankan kepantasan dalam penyampaian perkhidmatan oleh penjawat awam," katanya ketika berucap pada Program Bitara MADANI - Bicara Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, di sini hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata Malaysia dahulunya antara negara terbaik di Asia Tenggara dalam sektor perkhidmatan awam, namun penjawat awam kini dilihat sudah mula berada dalam zon selesa. Oleh itu, Perdana Menteri mencabar agar mereka keluar daripada zon tersebut.
"Saya percaya jika penjawat awam melaksanakan tiga prinsip dasar iaitu memudahkan, menyesuaikan dan menyegerakan perkhidmatan, kita mampu menjadi antara yang terbaik di rantau ini, bahkan setanding negara seperti Singapura," katanya.
Beliau turut mencadangkan penggunaan teknologi digital dan aplikasi pintar bagi mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan secara fizikal, sekali gus mengelakkan kesesakan dan mengurangkan risiko salah laku seperti rasuah.
Sementara itu, dalam usaha memperkasa penjawat awam menghadapi era pendigitalan, Wan Ahmad Dahlan berkata kerajaan turut melaksanakan inisiatif latihan kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital.
"Menerusi usaha ini, pegawai awam dihantar menjalani latihan intensif selama enam bulan di India dan China, termasuk bersama syarikat teknologi terkemuka seperti ZTE. Apabila kembali, mereka akan menjadi tenaga pelatih kepada rakan-rakan lain dalam sektor awam," katanya.
Terdahulu, beliau turut melancarkan buku 'H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi', hasil garapan beliau sendiri sebagai panduan kepada penjawat awam dalam memacu agenda reformasi sektor perkhidmatan awam.
Program anjuran INTAN Kampus Wilayah Utara (INTURA) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dari negeri-negeri utara itu dihadiri kira-kira 1,500 penjawat awam dari Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis.
-- BERNAMA
#kecerdasan buatan #penjawat awam #media sosial #Rasuah