ALOR SETAR: Sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan kakitangan awam serta anggota pentadbiran, kerajaaan negeri bersetuju memberi insentif bantuan khas kewangan berjumlah RM1,500 bagi setiap seorang.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam pembentangan Bajet Kedah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata, bantuan khas kewangan itu melibatkan pembayaran sebanyak RM8 juta yang akan dibayar pada Disember ini.

“Kerajaan negeri amat berterima kasih atas dedikasi dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi kakitangan awam negeri dalam melaksanakan dasar, program, projek yang dirancang oleh kerajaan demi membangunkan negeri ini,” kata beliau sidang media selepas pembentangan Bajet Kedah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, kakitangan awam negeri juga terlibat dalam menguruskan bantuan semasa berlakunya bencana di Kedah.

Sementara itu, beliau berkata, semua guru lantikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEIK) akan menerima faedah kenaikan gaji sebanyak RM100 secara 'one-off' setiap seorang seperti yang dinikmati penjawat awam lain.