Skip to main content

Malaysia

Penjawat awam mengaku tidak bersalah kemuka dokumen pencapaian palsu petugas

71743102937_courtgavel.jpg
Maheran membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud. - Gambar fail

SHAH ALAM: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan termasuk lapan pertuduhan pilihan mengemukakan dokumen mempunyai butir matan palsu berkaitan penilaian pencapaian petugas, lebih dua tahun lepas.

Maheran Abd Malik, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud. 

Advertisement

Wanita itu didakwa mengemukakan dokumen penilaian pencapaian yang mengesahkan output kerja petugas Abdul Hamid Khairudin, 28, di bawah seliaannya dengan niat memperdayakan Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Hulu Langat serta Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran Parlimen Pandan sedangkan petugas tersebut tidak mencapai output berkenaan kerana tidak hadir bertugas.

Bagi pertuduhan pilihan, Maheran didakwa secara curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen, iaitu Borang Penilaian Pencapaian Output atas nama petugas sama kepada prinsipal yang sama yang mengandungi pernyataan palsu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kemas Daerah Hulu Langat di Seksyen 6, Bandar Baru Bangi antara 31 Julai 2023 hingga 30 April 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan wanita itu melapor diri di Pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Suzanawati Ismail yang mewakili Maheran merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai tiga anak termasuk seorang masih bersekolah dan memberi kerjasama baik sepanjang siasatan serta bersedia mematuhi segala syarat ditetapkan.

“Saya harap jaminan dapat diberikan memandangkan kita sudah hampir menyambut Aidilfitri, jadi ia memberi peluang tertuduh untuk bersama-sama keluarga,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat dimohon pihak pendakwaan serta menetapkan 13 Mei sebagai sebutan semula kes. 

-- BERNAMA

Must Watch Video