Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Penjawat awam perlu elak 'bahasa Putrajaya' dalam penjelasan isu semasa - KSN

Bernama 12/08/2025 | 07:21 MYT
Shamsul berkata, bahasa penyampaian sering terlalu rumit, seolah-olah ditujukan kepada golongan profesional atau pegawai kanan kerajaan, sedangkan majoriti rakyat memerlukan penerangan dalam bahasa mudah. - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan semua penjawat awam agar mengamalkan komunikasi yang jelas, mudah difahami dan mengelakkan penggunaan "bahasa Putrajaya" yang terlalu teknikal atau berbelit sehingga menyukarkan masyarakat, khususnya golongan sasar, memahami isu dan dasar kerajaan.

Mengambil contoh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau berkata bahasa penyampaian sering terlalu rumit, seolah-olah ditujukan kepada golongan profesional atau pegawai kanan kerajaan, sedangkan majoriti rakyat memerlukan penerangan dalam bahasa mudah.

"Apabila timbul isu SST, penjelasan sering dibuat seakan-akan untuk profesor, pegawai tinggi kerajaan atau mereka yang berlatar belakang kewangan dan perakaunan. Hakikatnya, 85 peratus orang di luar sana hanya mahukan bahasa biasa-biasa, bahasa orang kita," katanya.

Beliau berucap pada sesi "Reformasi Satu Kemestian" Bersama KSN sempena setahun reformasi perkhidmatan awam, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta hampir 1,000 penjawat awam.

Shamsul Azri menegaskan keperluan menyesuaikan kaedah komunikasi supaya semua lapisan masyarakat dapat memahami penjelasan kerajaan.

"Dalam mesyuarat, saya selalu pesan, gunalah bahasa yang senang difahami dan jangan terlalu guna 'bahasa Putrajaya'. Saya mahu semua unit komunikasi korporat memperbaiki kaedah penyampaian agar jurang komunikasi dapat dikurangkan," katanya.

Menurut beliau, jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat sering berpunca daripada gaya bahasa yang tidak menepati kumpulan sasaran, termasuk perbezaan generasi.

"Kita perlu menyesuaikan cara komunikasi agar semua pihak golongan muda, separa tua atau tua, dapat memahami dengan jelas," katanya.

Pada majlis itu, Shamsul Azri turut melancarkan empat Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam baharu bagi mempermudah penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Antaranya Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam Bilangan 1 Tahun 2025 - Pengurusan Portal dan Laman Web Agensi Sektor Awam, Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam Bilangan 2 Tahun 2025 - Pengurusan Perkhidmatan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (MyGovNet).

Selain itu, turut dilancar ialah Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam Bilangan 3 Tahun 2025 - Tadbir Urus Perkhidmatan Komunikasi dan Kolaboratif Bersepadu Kerajaan (MyGovUC) dan Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam Bilangan 4 Tahun 2025 - Dasar Perkhidmatan Prasarana Kunci Awam Kerajaan (MyGPKI).

Pengenalan kepada empat Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam itu mencerminkan komitmen Jabatan Digital Negara (JDN) untuk menyelaraskan semula dasar-dasar digital kerajaan dengan lebih teratur, bersepadu dan berkesan.

Langkah itu memperkukuh tadbir urus digital dan memastikan setiap perkhidmatan kerajaan disampaikan secara lebih pantas, selamat dan responsif, selaras dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), aspirasi Iltizam dan visi Negara Digital.

-- BERNAMA

#Bahasa Putrajaya #SST #ketua setiausaha negara #Shamsul Azri Abu Bakar