Penjawat awam perlu terus perbaiki diri, tingkat mutu perkhidmatan - PM Anwar

erdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Simposium Pembangunan Dan Anugerah Pembangunan Negara (SPAPN) Tahun 2025 di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Penjawat awam perlu sentiasa berusaha memperbaiki diri dan menambah baik mutu perkhidmatan, bukan sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan penjawat awam perlu terus memperbaiki diri dan meningkatkan mutu perkhidmatan, serta memperkukuh nilai keikhlasan, tanggungjawab, dan amanah dalam tugas masing-masing.
- Anwar memuji pencapaian ekonomi Malaysia yang positif, namun mengingatkan bahawa kejayaan itu tidak mudah dicapai dan memerlukan usaha berterusan serta kesatuan dari semua pihak.
- Beliau menyeru agar penjawat awam menolak amalan rasuah dan politik berasaskan kebencian serta bersatu untuk membawa perubahan positif demi kegemilangan negara.
"Apakah dengan pangkat, darjat, anugerah, pingat atau jawatan tinggi itu telah kita tunaikan amanah dengan sebaiknya, seikhlasnya dan sebersihnya? Adakah idea yang kita bawa benar-benar mengangkat martabat negara serta membela nasib mereka yang tersisih dan terpinggir?
"Itu semua persoalan nilai dan tanggungjawab yang perlu kita sematkan dalam jiwa untuk membersihkan niat dan memperkukuh integriti," katanya ketika merasmikan Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara (SPAPN) 2025 di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Perdana Menteri turut menzahirkan rasa syukur atas prestasi ekonomi semasa negara yang menunjukkan perkembangan positif.
"Pagi tadi saya umumkan langkah-langkah terakhir yang amat membanggakan, pelaburan tertinggi, kadar pengangguran rendah, ringgit semakin kukuh, dan prestasi ekonomi terbaik di Asia," katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya kejayaan itu tidak disalah tafsir sebagai sesuatu yang mudah dicapai.
"Malaysia bukan negara besar ekonominya, namun kita telah mencapai sesuatu yang luar biasa hasil keamanan, kestabilan politik, kerjasama berpasukan antara pimpinan politik dan penjawat awam serta keberkesanan pelaksanaan dasar," katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa kejayaan negara tidak akan kekal tanpa usaha berterusan dan kesatuan semua pihak.
"Soalnya ialah kesatuan kita, pentadbiran kita dan cabaran kepada kita. . Bayangkan jika setengah juta penjawat awam bangkit dengan semangat baharu... kita bukan sekadar menyelamatkan, tetapi berusaha memastikan Malaysia terus muncul sebagai negara unggul di rantau ini," katanya.
Beliau berkata kebangkitan dan perubahan hanya akan tercapai jika seluruh penjawat awam bersatu menolak amalan rasuah serta politik berasaskan kebencian dan perpecahan.
"Bayangkan setengah juta penjawat awam bangkit dan berkata, 'cukup dengan kerakusan, rasuah, penyalahgunaan kuasa serta politik perkauman dan kebencian. -- ayuh kita bina diri, keluarga dan negara.
"Jika semangat seperti itu wujud, Insya-Allah, kita akan menyaksikan kebangkitan rakyat serta kejayaan negara yang tiada tandingan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


