MALAYSIA

Penjawat awam rugi lebih RM100,000 ditipu sindiket 'phone scam'

Bernama 28/08/2025 | 02:50 MYT
Mangsa yang berusia 39 tahun telah dihubungi suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans pada 26 Jun lepas. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang penjawat awam wanita kerugian RM124,930 selepas ditipu sindiket penipuan panggilan telefon atau 'phone scam'.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 39 tahun telah dihubungi suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans pada 26 Jun lepas.

Beliau berkata, suspek mendakwa mangsa ada membuat tuntutan insurans kesihatan yang memerlukan pengesahan namun dinafikan oleh mangsa.

"Mangsa disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis. Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan haram dan diminta membuat pinjaman peribadi bagi menyelesaikan ikat jamin.

"Mangsa yang bimbang dikenakan hukuman penjara telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM79,000 yang dimasukkan ke akaun simpanannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa supaya menukar kad bank dan nombor telefon dengan alasan tertentu, selain tidak dibenarkan mengemas kini dan menggunakan akaun tersebut hingga satu tempoh yang diberitahu.

"Pengadu telah mengikuti semua arahan suspek. Bagaimanapun, pada 27 Ogos lepas mangsa yang mengesyaki ditipu telah meminta penyata daripada pihak bank untuk pengesahan.

"Setelah diperiksa mangsa terkejut apabila mendapati terdapat enam kali pindahan wang daripada akaun bank miliknya ke akaun tidak dikenali berjumlah RM124,930. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA





#phone scam #penjawat awam rugi #sindiket penipuan #wakil syarikat insurans