MALAYSIA

Penjawat awam rugi RM119,000 diperdaya phone scam

Bernama 14/01/2026 | 14:45 MYT
Sharudin berkata mangsa membuat pinjaman peribadi dan memindahkan RM110,000 ke akaun suspek serta menyerahkan butiran perbankan, sebelum mendapati RM100,000 dalam akaun baharunya lesap semalam. - Gambar hiasan/Freepik
KUALA BERANG: Seorang penjawat awam wanita berusia 43 tahun kerugian RM119,000 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai pegawai insurans dan pihak berkuasa.


Ringkasan AI
  • Penjawat awam wanita berusia 43 tahun rugi RM119,000 akibat terperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai insurans dan pihak berkuasa.
  • Mangsa diminta membuat bayaran RM188,000 bagi elak waran tangkap, menyebabkan beliau membuat pinjaman dan mengalihkan RM110,000 ke akaun suspek.
  • Seorang suri rumah berusia 28 tahun pula rugi RM70,731 kerana terjebak sindiket kerja sambilan palsu yang menawarkan pendapatan melalui ulasan barangan dalam talian.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abdu Wahab berkata mangsa dihubungi suspek pada 16 Nov tahun lepas dan dimaklumkan kononnya terlibat dalam tuntutan palsu serta aktiviti penggubahan wang haram sebelum diarahkan membuat bayaran RM188,000 bagi mengelak waran tangkap.

Beliau berkata mangsa membuat pinjaman peribadi dan memindahkan RM110,000 ke akaun suspek serta menyerahkan butiran perbankan, sebelum mendapati RM100,000 dalam akaun baharunya lesap semalam.

"Mangsa turut membuat bayaran RM19,000 melalui mesin deposit wang dan laporan polis dibuat pada 12.29 tengah hari semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, seorang suri rumah berusia 28 tahun kerugian RM70,731 selepas diperdaya sindiket kerja sambilan palsu yang menawarkan pendapatan lumayan melalui ulasan barangan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa membuat tujuh transaksi ke akaun berbeza antara 11 hingga 12 Jan lepas sebelum menyedari ditipu dan membuat laporan polis semalam.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA



#penjawat awam #tuntutan palsu #phone scam #laporan polis