MALAYSIA

Penjawat awam rugi RM150,000 diperdaya 'phone scam'

Bernama 09/01/2026 | 02:50 MYT
Mangsa menyedari ditipu setelah mendapati wang pinjaman sebanyak RM150,000 dalam akaun baharu tersebut telah lesap. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang penjawat awam wanita kerugian RM150,000 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon atau phone scam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 4 Nov tahun lepas, mangsa berusia 43 tahun dihubungi seorang suspek lelaki yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans.

Beliau berkata suspek memaklumkan bahawa maklumat diri mangsa telah disalah guna, sebelum menyambungkan mangsa kepada rakan suspek yang menyamar sebagai anggota polis.

"Suspek mengugut akan menahan mangsa kerana didapati terlibat dengan kegiatan jenayah serta penggubahan wang haram.

"Suspek mengarahkan mangsa membuat pinjaman bank dan membuka akaun baharu bagi tujuan memasukkan wang berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang bimbang akan dimasukkan ke penjara telah membuat pinjaman peribadi pada 28 Okt 2025 dan memberikan segala maklumat berkaitan akaun bank kepada suspek bagi mengelak tindakan undang-undang.

Menurutnya, mangsa menyedari ditipu setelah mendapati wang pinjaman sebanyak RM150,000 dalam akaun baharu tersebut telah lesap.

"Setelah diperiksa terdapat pindahan wang dari akaun mangsa ke akaun tidak dikenali pada 6 Jan lalu.

"Mangsa membuat laporan polis pada 1.42 tengah hari semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA






#penjawat awam #sindiket penipuan telefon #wakil syarikat insurans #Azli Mohd Noor