Penjawat awam Sabah terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji

Masidi ketika membentangkan belanjawan itu memaklumkan pembayaran BKK melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM52.6 juta. - Gambar/ Bernama
KOTA KINABALU: Seramai 18,853 penjawat awam negeri Sabah menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji atau minimum RM2,000 menerusi Belanjawan Sabah 2026.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Sabah umum pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada 18,853 penjawat awam negeri, melibatkan kos sebanyak RM52.6 juta.
- BKK akan dibayar dalam dua fasa, iaitu sebelum Aidilfitri dan sambutan Kaamatan tahun depan, turut merangkumi golongan pesara kerajaan Sabah dengan bayaran RM1,000.
- Peruntukan emolumen sebanyak RM936.73 juta disediakan bagi membiayai gaji penjawat awam Sabah pada 2026, termasuk peningkatan gaji untuk menampung kenaikan tahunan serta pelarasan gaji fasa 2.
"Bantuan ini merangkumi semua kategori anggota perkhidmatan awam Sabah, dan merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap komitmen mereka yang menjadi tulang belakang pentadbiran negeri.
"Penjawat awam Sabah nadi utama jentera pentadbiran perkhidmatan kerajaan negeri... oleh itu, selain pelarasan gaji, Kerajaan Negeri Sabah juga membawa khabar gembira BKK kepada penjawat awam negeri," katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Masidi berkata selain itu, golongan pesara kerajaan Sabah tidak dilupakan apabila turut menerima BKK berjumlah RM1,000 yang dijadualkan dibayar pada tahun hadapan.
Beliau juga berkata kerajaan negeri mencadangkan peruntukan emolumen sebanyak RM936.73 juta bagi membiayai gaji penjawat awam Sabah pada 2026, peningkatan sebanyak RM32.82 juta atau 3.63 peratus berbanding peruntukan asal tahun ini.
"Kenaikan tersebut bagi menampung kenaikan gaji tahunan serta pelarasan gaji fasa 2 yang melibatkan kenaikan antara 3 hingga 7 peratus selaras dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam berkuat kuasa pada 1 Dis 2024, di samping pertambahan pelantikan baharu," katanya.
Masidi berkata kerajaan negeri turut memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan sumber manusia dengan RM16.85 juta bakal diagih kepada semua agensi kerajaan Sabah bagi memastikan penjawat awam terlatih dan dilengkapi pengetahuan serta kemahiran yang relevan dengan cabaran semasa.
Beliau berkata peruntukan sebanyak RM7.6 juta juga disediakan khusus untuk menggalakkan budaya pembelajaran berterusan.
"Perkhidmatan Awam ialah nadi Kerajaan Negeri Sabah yang perlu sentiasa berfungsi dengan cekap dan berkesan bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada semua lapisan masyarakat.
"Usaha ini adalah untuk membentuk barisan pegawai yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, memiliki keupayaan analitikal dan kepimpinan masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


