Penjawat awam Sabah terima bonus RM600

Bernama
Disember 18, 2020 11:22 MYT
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan memberi fokus kepada usaha pendigitalan perkhidmatan awam Sabah pada masa akan datang. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju memberi bantuan kewangan khas RM600 kepada semua penjawat awam negeri melibatkan peruntukan RM8.7 juta, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji berkata bantuan kewangan khas itu akan dibayar pada Januari tahun depan dan beliau berharap insentif berkenaan akan memberi suntikan semangat kepada para penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka kepada rakyat.
"Pada masa sama, adalah diharapkan perkhidmatan awam dapat terus berfungsi dengan berkesan melalui strategi dan pendekatan normal baharu yang bersesuaian serta mematuhi tuntutan norma baharu dalam tempoh penularan pandemik COVID-19," katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan memberi fokus kepada usaha pendigitalan perkhidmatan awam Sabah pada masa akan datang sejajar dengan aspirasi perkhidmatan awam negeri untuk menyediakan keperluan sumber manusia di negeri itu.
BACA: Kerajaan Sabah ditadbir GRS bentang Belanjawan 2021 berjumlah RM4.3 bilion
Rasionalisasi agensi kerajaan negeri juga akan terus dilaksanakan bagi memastikan keberhasilan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan, katanya.
Beliau berkata sehingga November 2020, seramai 762 anggota perkhidmatan awam negeri telah menerima manfaat peningkatan kerjaya, iaitu 5.26 peratus daripada 14,492 kapasiti anggota perkhidmatan awam negeri di kementerian, jabatan dan pejabat daerah.
"Program peningkatan kerjaya anggota perkhidmatan awam ini akan diteruskan pada tahun depan. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memberikan pengiktirafan kepada sumbangan dan peranan penting para penjawat awam di semua peringkat," katanya.
-- BERNAMA
#Bonus penjawat awam #penjawat awam Sabah #bonus #Belanjawan Sabah 2021 #Hajiji Noor #Datuk Seri Hajiji Noor #Digital perkhidmatan awam