MALAYSIA
Penjawat awam tertakluk arahan KSN berhubung larangan sertai perhimpunan - AGC

AGC memaklumkan, seseorang pegawai awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu menjelaskan, penjawat awam tertakluk kepada arahan khusus yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) berhubung larangan menyertai sebarang perhimpunan awam.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, sebarang kegagalan mematuhi P.U. (A) 1/2012, P.U. (A) 395/1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh kerajaan boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil ke atas pegawai awam itu di bawah P.U. (A) 395/1993.
"Meskipun Perkara 10(1)(a) dan 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak kepada setiap warganegara untuk bercakap dan bersuara serta hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata namun hak-hak tersebut adalah tidak bersifat mutlak," katanya.
Minggu lepas, KSN Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam agar tidak menyertai acara himpunan yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada Sabtu ini.Beliau berkata, tidak sewajarnya penjawat awam menyertai perhimpunan berkenaan kerana tindakan itu tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara.
Sementara itu, AGC memaklumkan, seseorang pegawai awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U. (A) 1/2012].
"Berdasarkan Surat Aku Janji tersebut, setiap pegawai awam bertanggungjawab mematuhi segala peraturan termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan kerajaan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut berdasarkan P.U. (A) 1/2012 dan P.U. (A) 395/1993, seorang pegawai awam, antara lain, hendaklah pada setiap masa memberikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.
"Tidak berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam dan tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami