MALAYSIA
Penjawat awam wanita bukan hanya pelengkap organisasi - KSN

Shamsul Azri (duduk, kiri) bergambar bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Penaung Puspanita selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Puspanita hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Penjawat awam wanita bukan hanya pelengkap sesebuah organisasi malah memiliki kemampuan untuk menerajui jabatan, memikir dasar negara dan mampu mendidik generasi akan datang.
Ringkasan AI
- Wanita kini membentuk 59.3% penjawat awam dan hampir 39% jawatan tertinggi sektor awam, menunjukkan peranan besar mereka dalam kepimpinan dan pembangunan negara.
- Ketua Setiausaha Negara menekankan kepentingan memperkasa wanita sebagai pemimpin berwibawa dan pencetus perubahan, sejajar dengan sasaran ekonomi MADANI menjelang 2033.
- Puspanita digesa memperkukuh hala tuju strategik 20262030, dengan fokus kepada kebajikan, kesukarelawan dan peranan aktif dalam menyantuni masyarakat ketika krisis.
"Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Ini selaras dengan penanda aras ketujuh sasaran ekonomi MADANI iaitu kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus menjelang 2033," katanya.
Shamsul Azri berkata demikian pada Majlis Penutupan Mesyuarat Agung Perwakilan (MAP) Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) ke-43 yang dirasmikan Penaungnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Penasihat Puspanita berkata wanita turut memainkan peranan penting sebagai pencetus perubahan dan pemimpin berwibawa.
"Maka tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa memperkasakan wanita hari ini bukan sahaja untuk meneruskan legasi kepimpinan yang telah lama wujud, malah wanita kini memikul tanggungjawab untuk memperluas ruang dan memperkukuh peluang," katanya.
Shamsul Azri berharap Puspanita dapat menjajarkan dan mengarusperdanakan hala tuju baharunya dalam membangunkan Pelan Strategik Puspanita 2026-2030 seiring dengan kesemua agenda nasional yang telah ditetapkan kerajaan.
"Satu aspek penting yang wajar untuk terus diberikan penekanan oleh Puspanita ialah program kebajikan dan kesukarelawan.
"Mengambil contoh peristiwa letupan di Putra Height, kehadiran Puspanita di lapangan menyantuni dan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan adalah sangat bermakna buat mereka," katanya.
Turut hadir Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Maheran Jamil, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Abd Shukor Mahmood dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nasriah Darus.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami