1. Pada 16 Januari 2019 Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (“Azeez Rahim”) telah dipertuduhkan dengan 3 pertuduhan di bawah seksyen 16(a)(A) ASPRM 2009 berjumlah RM5.2 juta dan 9 pertuduhan di bawah seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Rasuah Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [AMLATFPUAA 2009] [Akta 613] berjumlah RM139,416,664.85 kerana dikatakan terlibat dalam membantu syarikat-syarikat kontraktor memperolehi projek-projek Kerajaan Malaysia.

2. Seramai 7 orang saksi telah dipanggil memberi keterangan dan pada 7 September 2020 pihak pendakwaan telah membuat pindaan terhadap 9 pertuduhan di bawah AMLATFPUAA 2009 dan menambah 1 pertuduhan di bawah AMLATFA 2009 dengan nilai kesalahan berjumlah RM13,433,985.25. Perbicaraan telah ditangguhkan kerana pihak pembelaan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan pertuduhan-pertuduhan tersebut. Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 4, telah menolak permohonan itu dan Azeez Rahim tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut telah merayu ke Mahkamah Rayuan. Pihak-pihak telah berhujah dan Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh keputusan rayuan pada 05.09.2022. Pada 05.09.2022, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk menolak rayuan perayu bagi mengetepikan dan membatalkan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya kecuali bagi pertuduhan pindaan ketiga, pertuduhan pindaan ketujuh, pertuduhan pindaan kelapan dan pertuduhan pindaan kesembilan Perayu dilepaskan dan dibebaskan. Manakala pertuduhan-pertuduhan lain adalah dikekalkan.

Mahkamah | Abdul Azeez bebas 9 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

BACA: Abdul Azeez bebas 9 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

3. Semenjak pemfailan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azeez Rahim telah mengemukakan beberapa representasi ke Jabatan ini melalui peguam belanya iaitu Kumar partnership dan AmerBon Associates agar kes pendakwaan terhadapnya ditarik balik dan kesemua pertuduhan dibatalkan. Namun melalui surat representasi bertarikh 11.03.2022 dan 16.03.2022 pihak pendakwaan telah menerima 6 akuan berkanun daripada saksi-saksi utama pendakwaan sendiri yang menyebabkan satu siasatan yang menyeluruh dan teliti perlu dibuat oleh pihak siasatan SPRM kerana terdapat bukti baharu yang tidak dipertimbangkan sebelum ini. 

4. Pada 23 September 2022, pihak Pendakwa Raya memohon kepada mahkamah satu perintah pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan mengikut seksyen 254(2) Kanun Tatacara Jenayah agar siasatan lanjut dapat dibuat. Mahkamah Sesyen telah membenarkan Azeez Rahim dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

5. Perkembangan siasatan telah dirujuk semula kepada pihak pendakwaan di mana pihak pendakwaan berpuas hati bahawa tiada keterangan dan fakta yang memihak kepada pihak pendakwaan.

6. Pada 1 Disember 2022, Azeez Rahim melalui peguamnya telah memfailkan permohonan untuk pelepasan dan pembebasan (AND) dari kesemua pertuduhan. Setelah kertas siasatan diteliti, jabatan ini bersetuju untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Azeez Rahim dan tidak membantah terhadap permohonan pelepasan dan pembebasan Azeez Rahim pada hari ini.


Sekian.

PEGUAM NEGARA
9 DISEMBER 2022