MALAYSIA
Penjenamaan ‘LINDUNG’ mudahkan kefahaman, perkukuh iltizam PERKESO

Steven Sim Chee Keong bersama Subahan Kamal dan Dr Mohammed Azman Aziz ketika gimik perasmian Majlis penjenamaan LINDUNG dan Malam Gala meraikan Majikan Pesona LINDUNG PERKESO. - Gambar PERKESO
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkenalkan penjenamaan semula empat skim perlindungannya di bawah satu identiti baharu dikenali sebagai ‘LINDUNG’, dalam usaha memperkasa jaringan keselamatan sosial negara.
Langkah itu selari dengan tekad Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang menyasarkan penambahbaikan menyeluruh dalam aspek komunikasi, operasi dan penyampaian perkhidmatan perlindungan sosial kepada rakyat Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, penjenamaan baharu tersebut bukan sekadar nama, tetapi merupakan reformasi dasar yang memudahkan kefahaman rakyat serta memperkukuh komitmen kerajaan dalam menjaga martabat pekerja.
“Saya kata kepada pasukan, kalau nama pun susah nak sebut, macam mana kita nak promosikan? Macam mana rakyat boleh tahu? Macam mana pekerja boleh tahu?
“Jadi antara faktor utama kita laksanakan penjenamaan hari ini ialah untuk memperkenalkan konsep ‘LINDUNG’, yang mencerminkan tekad KESUMA untuk menjadi perisai kepada para pekerja di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran penjenamaan semula itu di ibu negara.

Warga PERKESO bergambar kenangan sempena Majlis Gala Pelancaran Penjenamaan LINDUNG, simbol semangat ‘LINDUNG Semua’. - Gambar PERKESO
Empat komponen utama di bawah payung Lindung ialah:
• LINDUNG PEKERJA – Perlindungan sosial untuk pekerja formal termasuk warga asing dan domestik.
• LINDUNG KERJAYA – Sokongan kewangan dan kerjaya kepada individu yang kehilangan pekerjaan.
• LINDUNG KENDIRI – Perlindungan untuk pekerja sendiri seperti gig, freelancer dan usahawan mikro.
• LINDUNG KASIH – Perlindungan khas untuk wanita atas pengorbanan mereka, termasuk yang bekerja sambilan.
Kesemua skim tersebut adalah selaras dengan akta-akta sedia ada di bawah PERKESO, namun dibentangkan dengan pendekatan yang lebih tersusun dan mudah difahami oleh rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal, dalam ucapannya menyatakan harapan agar LINDUNG menjadikan PERKESO lebih dekat di hati rakyat dan mampu menjangkau kumpulan pekerja yang masih belum dilindungi.
“Harapan kami agar tiada siapa yang dibiarkan terjatuh tanpa sokongan PERKESO kerana kami percaya setiap rakyat yang memerlukan akan sentiasa dilindungi, dibantu dan diberdayakan demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.
Sebagai sebahagian daripada kempen pelancaran, PERKESO turut menyampaikan Anugerah Majikan Pesona LINDUNG kepada lapan tokoh dan organisasi yang menunjukkan komitmen luar biasa dalam menjaga kebajikan pekerja dan membayar caruman secara konsisten.
Antara ikon yang menerima penghargaan termasuk Biduania Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, usahawan dan personaliti Noor Neelofa Mohd Noor, pengarah filem dan penerbit Datuk Mohd Yusof Haslam, usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri, serta pereka fesyen tempatan Christy Ng.

Barisan penerima penghargaan ‘Apresiasi Majikan Pesona LINDUNG’ yang berjasa dalam memperkasa keselamatan sosial menerusi penyertaan aktif dalam skim PERKESO. - Gambar PERKESO
Penjenamaan semula ini merupakan sebahagian daripada pelan transformasi PERKESO untuk menjadi institusi perlindungan sosial yang lebih tangkas, proaktif dan mesra rakyat, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami