Penjenamaan semula Hospital Pakar Pusrawi perkukuh perkhidmatan kesihatan patuh syariah

Dr Zulkifli berkata penjenamaan semula itu bukan sekadar melibatkan imej dan identiti korporat. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Penjenamaan semula Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur mencerminkan komitmen institusi itu dalam menawarkan perkhidmatan kesihatan berkualiti berteraskan nilai keihsanan, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkasakan kesejahteraan rakyat.
Ringkasan AI
- Penjenamaan semula Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur menunjukkan komitmen institusi itu dalam meningkatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkasakan kesejahteraan rakyat.
- Usaha penjenamaan semula ini merangkumi pembaruan infrastruktur, kemudahan moden, peralatan perubatan, kepakaran, dan keseluruhan ekosistem institusi untuk menjadi hospital pakar yang mesra ibadah, patuh syariah, dan inklusif.
- Jabatan Rawatan Kanser Azman Hashim (JRKAH) yang merupakan inisiatif Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur bertujuan memperkukuhkan perkhidmatan rawatan kanser yang lebih komprehensif dan bersepadu, turut memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit kanser serta pencegahan dan rawatan awal.
"Usaha ini mencerminkan indikator 'Rahmatan Lil Alamin', iaitu pendekatan yang inklusif dan berteraskan nilai, selari dengan perkhidmatan rawatan kesihatan terbaik untuk seluruh lapisan masyarakat," katanya pada sidang media selepas merasmikan penjenamaan semula Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur dan perasmian Jabatan Rawatan Kanser Azman Hashim (JRKAH) di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Pusrawi Heritage Sdn Bhd Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir serta Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim yang juga Pengerusi Yayasan Azman Hashim.
Ditubuhkan pada 1984 di Wisma Baitulmal, Jalan Ipoh sebelum berpindah ke Jalan Tun Razak pada 2006 sehingga ke hari ini, Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur yang dahulu dikenali sebagai Hospital Pusrawi Sdn Bhd merupakan hospital swasta, anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, iaitu Pusrawi Holdings Heritage Sdn Bhd.
Mengenai JRKAH, Zulkifli berkata beliau berpuas hati dengan kemudahan perkhidmatan yang selari dengan keperluan rawatan kanser masa kini.
Beliau berkata dengan kepakaran dan teknologi yang dimiliki, institusi kesihatan itu disaran lebih aktif mendekati masyarakat bagi meningkatkan kesedaran terhadap peningkatan penyakit kanser serta kepentingan pencegahan dan rawatan awal.
"Selain menjana pendapatan bagi kelangsungan operasi, Pusrawi juga perlu terus menunaikan tanggungjawab sosial melalui inisiatif meningkatkan kesedaran awam tentang penyakit dan rawatan kanser, selari dengan agenda Kerajaan MADANI yang mengangkat nilai membantu rakyat sebaik mungkin," katanya.
JRKAH merupakan inisiatif strategik Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur dalam memperkukuh perkhidmatan rawatan kanser yang lebih komprehensif serta bersepadu, dan ditubuhkan hasil sumbangan Yayasan Azman Hashim berjumlah RM5.8 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


