PUTRAJAYA: Kerajaan perlu bergerak selangkah ke hadapan untuk bersiap sedia dengan pelbagai usaha pencegahan yang lebih efektif bagi menghadapi cabaran jenayah siber yang kian dinamik. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kebanyakan penjenayah siber dan kewangan kini tidak lagi beroperasi secara bersendirian, sebaliknya mempunyai struktur pengurusan dan beroperasi seperti sebuah organisasi.

Jelas beliau, penjenayah terbabit bertindak menceroboh dan mengakses sistem rangkaian komputer tanpa kebenaran, menyebabkan berlaku ketirisan data.

"Dalam keghairahan perkembangan dunia digital yang semakin meluas, perkembangan teknologi juga mewujudkan ancaman dan serangan siber dalam pelbagai skala.

"Antara perkara yang membimbangkan ialah peningkatan jumlah aktivis, pengintip dan pengganas siber terancang yang memiliki kemampuan untuk merosakkan perkhidmatan dan operasi kerajaan, organisasi serta individu.

"Jika dilihat kepada trend jenayah siber pada masa kini, insiden seperti penipuan kewangan, pancingan data, serangan malware dan ransomware, pengintipan siber, ancaman 'hacktivism' serta kebocoran dan ketirisan data berupaya memberi tentangan yang hebat terhadap kaedah sedia ada yang dilaksanakan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 (JASK 2023) di sini pada Khamis.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Berucap lanjut, Fadillah berkata seperti negara-negara lain, ancaman dan serangan siber di Malaysia juga tidak mengenal siapa dan setiap individu adalah terdedah dengan risiko jenayah siber.

Ujar beliau lagi, kemajuan pesat teknologi dan sinergi sosiobudaya masyarakat di era digital membuka peluang kepada penjenayah kewangan untuk menjerat mangsa melalui eksploitasi serta manipulasi mental dan tingkah laku.

Memetik laporan ‘The Global State of Scams 2023’ pada Oktober 2023, Fadillah menambah sebanyak 25.5 peratus penduduk dunia kehilangan wang akibat penipuan dalam talian bagi tempoh 12 bulan dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak AS$1.026 trilion.

Manakala, statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, katanya menunjukkan kes jenayah dalam talian meningkat sebanyak 37 peratus bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, berbanding tempoh yang sama pada 2022.

"Hal ini jelas menunjukkan bahawa jenayah penipuan kewangan dan 'scam' memberi risiko yang sangat besar terhadap kemandirian negara, di mana kesan langsung jenayah kewangan secara terancang boleh menyebabkan negara mengalami kerugian kewangan.

"Justeru, langkah-langkah proaktif bagi melindungi maklumat peribadi dan data sensitif negara perlu diutamakan bagi memastikan integriti sistem digital dan keselamatan negara kekal utuh," katanya.

Dalam masa yang sama, Fadillah menggesa semua penjawat awam untuk memberi perhatian yang sewajarnya tentang isu-isu penipuan kewangan, modus operandi dan tips pencegahan pelbagai jenis scam.

Langkah tersebut, katanya termasuk melengkapkan diri dengan ilmu keselamatan siber dan sentiasa berwaspada sewaktu menggunakan teknologi dan internet.

Selain itu, beliau turut mengingatkan agar rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan taktik scam yang menawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan di luar negara.