MALAYSIA

Penjimatan petrol BUDI95, tepat ketika kos hidup meningkat - Pengguna

Astro Awani 17/10/2025 | 11:30 MYT
Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa lebih 70,000 pemandu e-hailing sepenuh masa dikenal pasti layak menerima had tambahan subsidi BUDI95. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pemandu e-hailing yang berdaftar secara sah kini dikecualikan daripada had subsidi petrol 300 liter sebulan di bawah Program BUDI95.


Ringkasan AI
  • Pemandu e-hailing kini dikecualikan had 300 liter subsidi BUDI95, langkah ini bantu kurangkan kos operasi harian mereka.
  • Penjimatan besar untuk pemandu dan pengguna biasa, contohnya pemandu e-hailing jimat lebih RM240 sebulan, manakala pengguna biasa boleh jimat sehingga RM1,464 setahun.
  • Permohonan pengecualian melalui portal BUDI95, dengan dokumen sokongan seperti lesen PSV dan bukti aktiviti e-hailing; lebih 70,000 pemandu layak menerima manfaat ini.


Langkah itu disambut baik oleh para pemandu yang sebelum ini menganggap had tersebut tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi harian, khususnya bagi mereka yang menempuh ratusan kilometer setiap minggu.

Pemandu e-hailing sepenuh masa, Muhammad Syazlan Mohd Aris, 32, berkata BUDI95 merupakan inisiatif yang baik dan tepat pada masanya, terutama bagi pemandu di kawasan Lembah Klang yang berdepan dengan kos sara hidup tinggi.

Sudah hampir lima tahun bergantung kepada platform e-hailing sebagai sumber pendapatan utama, bapa kepada seorang anak itu mengakui penjimatan menerusi BUDI95 memberi impak langsung kepada pendapatannya setiap bulan.

"Saya isi minyak hampir 400 liter sebulan. Tanpa subsidi, saya bayar hampir RM1,040. Tetapi sekarang, dengan BUDI95 saya cuma bayar lebih kurang RM796.

"Penjimatan lebih RM240 sebulan sangat besar bagi kami," katanya.

Foto AWANI


Muhammad Syazlan menambah, sebelum ini sebahagian besar daripada pendapatannya digunakan bagi menampung kos petrol.

"Tetapi sejak menerima subsidi, saya kini mampu menyimpan sebahagian pendapatan bulanan untuk kegunaan kecemasan dan keperluan keluarga.

"Dulu, kadang-kadang anak sakit pun saya terpaksa tangguh ke klinik sebab duit habis untuk minyak," katanya lagi.

Foto AWANI


Sementara itu, menurut Pakar Kewangan, Muhamad Fahmi Mustafa, penjimatan yang diperolehi melalui subsidi tersebut, boleh mencecah ribuan ringgit setahun bergantung kepada tahap penggunaan petrol individu.

Jelas beliau, pengguna yang memandu kenderaan seperti Perodua Myvi atau Proton Saga dianggarkan menggunakan petrol sekitar 200 liter sebulan.

"Dengan subsidi BUDI95, pengguna ini dijangka dapat menjimatkan sekitar RM122 sebulan atau kira-kira RM1,464 setahun.

"Pengguna yang mengisi 200 liter petrol sebulan sebelum ini perlu membayar sekitar RM520 sebulan. Dengan BUDI95, kos itu turun kepada RM398.

"Dalam setahun, jumlah penjimatan ini adalah cukup besar untuk menampung perbelanjaan lain seperti pembaharuan cukai jalan, insurans, atau bahkan simpanan kecemasan," katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa lebih 70,000 pemandu e-hailing sepenuh masa dikenal pasti layak menerima had tambahan subsidi BUDI95, sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berperingkat.

Menurut Kementerian Kewangan, pengecualian itu diberikan bagi meringankan beban kos harian pemandu e-hailing yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan untuk menjana pendapatan.

Permohonan boleh dibuat melalui portal rasmi BUDI95 dengan dokumen sokongan seperti lesen Vokasional untuk kenderaan awam (PSV), dan bukti aktiviti e-hailing.









#BUDI95 #subsidi petrol #kos sara hidup #Kerajaan Madani #pemandu e-hailing