KUCHING:Sarawak hari ini mencatat kes ke-772 positif COVID-19 selepas dua kes direkodkan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan medianya hari ini memaklumkan kedua-dua kes direkodkan di daerah Kuching.

Kes ke-771 merupakan seorang lelaki warganegara tempatan yang bekerja sebagai penjual kuih di Kuching.

“Kes telah menjalani saringan COVID-19 kendiri di sebuah hospital swasta pada 22 Oktober 2020 kerana mengalami kesukaran untuk tidur.

“Keputusan ujian rT-PCR COVID-19 kes ini telah didapati positif pada hari yang sama,” jelas kenyataan itu.

JPBNS turut mengesahkan kes tiada perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19.

“Kes juga tidak mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19.

“Kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” tambah JBNS.

Sementara itu kes ke-772 merupakan seorang wanita warganegara China yang menjalani saringan COVID-19 di sebuah hospital swasta di Kuching kerana ingin pulang ke negara asal.

“Kes telah menjalani ujian rT-PCR COVID-19 pada 22 Oktober 2020  disahkan positif pada hari sama,” kata JPBNS.

Sepertimana kes ke-771, kes ini juga  tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 dan tidak mempunyai kontak kepada kes positif.

Kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut. Kes ini tidak mengalami sebarang tanda dan gelaja.

Kedua-dua kes ke-771 dan kes ke-772 ini masih dalam siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar jangkitan.

Kedua-dua kes dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan berdasarkan sejarah awal pergerakan kes sehingga punca jangkitan diketahui.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah daerah berstatus kuning kini menurun kepada dua iaitu daerah Kuching dan Bintulu.

Ia beriutan status Lubok Antu yang bertukar kepada hijau kerana tiada kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.