MALAYSIA

Penolong pegawai kesihatan persekitaran mengaku tidak bersalah terima rasuah RM3,000

Bernama 26/06/2025 | 06:50 MYT
Mohd Azrul Nazwan dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM3,000 tahun lepas.

Ringkasan AI
  • Mohd Azrul Nazwan, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM3,000 daripada pengurus restoran sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang berkaitan kesalahan kebersihan makanan.
  • Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan termasuk penyerahan pasport dan laporan bulanan kepada SPRM; sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Ogos.

Mohd Azrul Nazwan A Rani, 42, didakwa memperoleh wang suapan itu daripada seorang pengurus restoran sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu itu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Dia yang ketika itu bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dituduh melakukan kesalahan berkenaan di sebuah restoran di tingkat bawah Merlin Tower, Jalan Meldrum di sini antara 8 hingga 9 malam, 25 Julai 2024.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Asmah Zainal Arifin manakala peguam Ahmad Syafiq Mohd Ghazali mewakili tertuduh.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan Mohd Azrul Nazwan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan selain menetapkan sebutan semula kes pada 5 Ogos.
--BERNAMA
#kes rasuah #Johor #Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran #Kebersihan Makanan