KOTA KINABALU: Seorang penolong pegawai penerangan didakwa atas 10 pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan tender menyedia perkhidmatan bekalan makanan kepada syarikat milik ahli keluarganya.

Tertuduh, Sharif Ahmad Shah Sh Mundui, 49 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Abu Bakar manat di Mahkamah Khas Rasuah pada Selasa.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengarahkan kerani di Pejabat Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara untuk mempelawa syarikat Sutra Gemilang Enterprise milik abangnya, Sharif Idrus Sarif Mundoi untuk perkhidmatan menyedia jamuan makan dan minum bagi program amalan demokrasi berparlimen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu pada 2 April 2019 berjumlah RM2,000.

Dalam pertuduhan kedua hingga ke-10, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama bagi beberapa program kerajaan di lokasi berbeza pada tarikh berlainan antara 12 Jun hingga 30 Oktober 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Hakim Abu Bakar kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar ikat jamin RM20,000 dan deposit RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Selain itu, tertuduh juga diarah melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap dua bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes dikendalikan pegawai pendakwaraya SPRM, Nuzul Izzati Sapifee sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kes berasingan, seorang pegawai pertanian didakwa atas enam pertuduhan menerima suapan daripada seorang individu dengan tujuan untuk mempercepatkan urusan tuntutan pembayaran daripada RISDA daerah Keningau kepada individu terbabit.

Tertuduh, Zainal Aliasan, 33 bagaimana pun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu di hadapan Hakim, Abu Bakar Manat di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Selasa.

Bagi pertuduhan pertama, Zainal bertempat di pejabat RISDA daerah Keningau didakwa menerima suapan daripada individu bernama Fong Yoon Hing melalui akaun bank rakannya, sebagai dorongan untuk mempercepatkan urusan tuntutan pembayaran individu tersebut terhadap RISDA daerah Keningau pada 2 Mei 2020 dengan jumlah wang sebanyak RM4,950.

Dalam pertuduhan kedua hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang sama menggunakan akaun bank berbeza untuk menerima suapan daripada Fong Yoon Hing di lokasi yang sama pada tarikh yang berbeza di antara 2 Mei hingga 28 Julai tahun 2020.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara untuk tempoh tidak melebihi dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Hakim memerintahkan tertuduh membayar ikat jamin RM20,000 dan deposit RM5,000 dengan dua orang penjamin tempatan.