[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Penolong pegawai RELA didenda RM25,000 kerana bersalah kemuka tuntutan palsu penugasan

Bernama 24/09/2025 | 07:45 MYT
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman itu selepas K. Rameswaran, 28, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan. - Gambar hiasan
IPOH: Seorang penolong pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah hari ini didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengemukakan tuntutan palsu elaun penugasan semasa monsun timur laut (MTL), dua tahun lepas.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman itu selepas K. Rameswaran, 28, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Rameswaran secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen yang diketahui palsu iaitu Borang Tuntutan Elaun Penugasan Kawalan Keselamatan dan Pemantauan Bencana semasa MTL 2023/2024 Daerah Sungai Siput (U) dari Oktober 2023 hingga Januari 2024 di Pejabat Rela negeri Perak di sini.

Tuntutan elaun itu dibuat atas nama lima anggota RELA lain walaupun mereka didapati tidak pernah menjalankan tugas rondaan semasa musim MTL tersebut, dengan jumlah keseluruhan RM9,408.

Rameswaran, yang bertanggungjawab mengurus, menyokong, dan mengesahkan hal ehwal kewangan petugas bawahannya, didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia G. Nanthini manakala Rameswaran tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA


#RELA #tuntutan palsu #pegawai Rela #monsun timur laut