NATIONAL
Penolong pengarah didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak untuk isteri
SEREMBAN: Seorang penolong pengarah di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak untuk syarikat milik isterinya pada 2021 dan 2022.
Ringkasan AI
- Rosdi Pilus didakwa menyalahgunakan kedudukan untuk beri kontrak kepada syarikat milik isterinya bernilai RM19,000 dan RM5,000 pada 2021 dan 2022.
- Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tinggi jika sabit kesalahan.
- Mahkamah benarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, dan sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Julai.
Bagi pertuduhan kedua, Rosdi didakwa memperakukan 'Kelulusan Ketua Bahagian' pada Borang Permohonan Pesanan Kerajaan atas nama syarikat sama bagi perolehan Perkhidmatan Program Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Negeri Sembilan berjumlah RM5,000.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Sembilan masing-masing pada 18 Nov 2021 dan 23 Feb 2022 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Rosdi boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa SPRM Zainab Yahaya meminta mahkamah menawarkan jaminan berjumlah RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh Muhammad Wajih Zakwan Hanif memohon jumlah jaminan paling minimum berikutan anak guamnya tidak mampu membayar jaminan tinggi serta tidak akan melarikan diri selain memberikan kerjasama baik kepada SPRM.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 untuk kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan 7 Julai ini untuk serahan dokumen.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami