KUALA LUMPUR: Kawasan Parlimen Pensiangan wajar menjadi contoh kepada daerah lain dalam usaha menyeimbangkan pembangunan dengan pemeliharaan alam sekitar berikutan memiliki antara kadar litupan hutan tertinggi di Sabah.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata Sabah merekodkan litupan hutan sebanyak 64 peratus, lebih tinggi berbanding purata nasional 54.4 peratus, manakala kawasan Pensiangan pula mempunyai litupan hutan melebihi 85 peratus.
Menurutnya, kekayaan biodiversiti dan sumber semula jadi yang dimiliki kawasan itu perlu dipelihara kerana ia merupakan khazanah yang diwarisi daripada generasi terdahulu dan sukar diganti sekiranya musnah.
“Kalau dahulu mentalitinya, kalau ada hutan kita mesti tebang pokok untuk menikmati kekayaannya. Tetapi sekarang ada kesedaran bahawa pokok dan hutan itu lebih bernilai selagi ia masih hidup dan berdiri.
“Khazanah ini kita warisi daripada nenek moyang kita. Sekiranya ia hilang, hampir mustahil untuk diganti semula pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Alam Kita (KAK) 2026 di Mukim Dalit, pada Sabtu.
Jelasnya cabaran utama ketika ini adalah memastikan pembangunan ekonomi dan infrastruktur dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pembangunan di kawasan pedalaman khususnya di Mukim Dalit dan Parlimen Pensiangan terus menjadi keutamaan kerajaan.
Katanya, antara projek pembangunan utama yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit, yang disifatkan sebagai antara projek terbesar pernah dilaksanakan di kawasan itu.
“Apabila SMK Dalit siap nanti, tahap pendidikan anak-anak kita akan meningkat, guru akan bertambah dan peluang ekonomi serta pekerjaan juga akan berkembang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, beberapa projek infrastruktur jalan raya sedang giat dilaksanakan termasuk jalan berturap dari Kampung Sinaron ke Tongod, laluan Sapulut ke Pensiangan serta penyambungan jalan menuju sempadan Kalimantan, Indonesia.
Menurutnya, jalan-jalan lain seperti Jalan Rancangan Belia Tulid, Jalan Karamatoi dan Jalan Lanas turut sedang dinaik taraf bagi meningkatkan hubungan dan membuka peluang ekonomi baharu di kawasan pedalaman.
Mengulas penganjuran Karnival Alam Kita, Arthur berkata, program itu dianjurkan bagi membawa perkhidmatan kerajaan terus kepada masyarakat luar bandar selain memberi peluang kepada penduduk berinteraksi dengan jabatan dan agensi kerajaan.
“Dasar dan pelan pembangunan yang digubal bukan untuk orang di Kuala Lumpur atau Putrajaya semata-mata, tetapi untuk rakyat di kawasan seperti Dalit yang menjadi golongan sasaran sebenar.
“Sebab itu penting bagi pembuat dasar dan pegawai kanan kerajaan turun ke lapangan untuk melihat sendiri keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata Karnival Alam Kita akan diperluaskan ke kawasan lain sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memastikan pembangunan yang lebih seimbang di luar bandar.