Pensijilan baharu bagi ubat terkawal/preskriptif yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan membolehkan Farmaseutikal Halal berkembang di dalam dan luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pensijilan itu dianugerahkan kepada Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) yang akan menggalakkan penyertaan daripada syarikat farmaseutikal di peringkat tempatan dan global.

"Kami berharap ini akan mendorong badan-badan pensijilan halal yang diiktiraf untuk melakukan perkara sama bagi memastikan perubatan preskriptif, vitamin dan suplemen kesihatan adalah halal dan mematuhi piawaian Syariah.

"Produk yang disahkan halal bukan hanya untuk umat Islam sahaja, malah selamat digunakan, berkesan, berkualiti tinggi dan bersih lagi suci," katanya, sambil menambah piawaian halal perlu menjadi teras dalam produk penjagaan kesihatan dan farmaseutikal.

Beliau berkata perlu ada penyatuan Syariah dan Sains, dan Malaysia mampu menjadi peneraju industri, berdasarkan pelaksanaan Piawaian Farmaseutikal Halal pertama di dunia - MS2424:2012.

Kerajaan mahu peserta global melihat negara sebagai hab serantau baharu untuk menampung pasaran halal global yang semakin berkembang, katanya dalam kenyataan pada Khamis.

JAKIM mencipta sejarah sekali lagi dalam industri halal global dengan menjadi badan pensijilan halal pertama mengesahkan ubat terkawal/preskriptif (Produk Beretika) berdasarkan MS2424:2012 Farmaseutikal Halal - Garis Panduan Umum.

Sijil halal bagi produk farmaseutikal preskriptif itu dianugerahkan kepada CCM pada majlis anugerah khas di Putrajaya hari ini.

Logo Halal Malaysia diterima dan diiktiraf di seluruh dunia kerana mematuhi standard dan integriti yang tinggi dalam menepati konsep Halalan Toyyiban.

Pencapaian baharu JAKIM ini akan membolehkan Malaysia menguasai dan meningkatkan kepimpinan dalam industri, terutamanya dengan prospek global Halal Pharmaceuticals yang bernilai US$75 bilion pada masa ini, dan dianggarkan mencecah US$132 bilion menjelang 2021.

Sementara itu, Pengerusi CCM Datuk Normala Abdul Samad berkata syarikat berharap Farmaseutikal Halal akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk Bumiputera dalam ekosistem farmaseutikal.

"Langkah ini bagi menyokong saranan kerajaan untuk mengukuhkan daya saing Bumiputera dalam industri ini.

"Kami mahu menggalakkan para cendekiawan dan pakar Muslim Malaysia, dalam menggalakkan penyatuan Syariah dan sains untuk memperluaskan Farmaseutikal Halal di dalam dan luar negara, menyumbang ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan (K-economy)," katanya.

-- BERNAMA