BUTTERWORTH: Seorang pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi awam dan adiknya masing-masing dihukum penjara tiga tahun serta denda RM807,475 seorang oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan kes salah guna kedudukan, pada tahun 2011.

Hukuman yang berjalan serentak itu dibuat hakim Zulhazmi Abdullah selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah mendapati tertuduh pertama, Profesor Badaruddin Mohamed, 57, dan adiknya Mustafa Kamal, 50, bersalah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Pada tahun 2011 hingga 2012, Badaruddin yang ketika itu Pengarah Pejabat Komunikasi Strategik Universiti Sains Malaysia (USM) telah menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan untuk adiknya dengan meluluskan Syarikat MK Urusniaga (M) Sdn Bhd sebagai pembekal bagi sembilan  kerja-kerja pembekalan dengan jumlah keseluruhan RM160,163 yang mana Mustafa Kamal adalah pemilik syarikat tersebut.

Pada masa sama, Mustafa Kamal pula bersubahat dengan Badaruddin untuk mendapatkan kerja-kerja berkaitan atas nama syarikatnya.

Berikutan itu, tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Badaruddin dan Mustafa Kamal masing-masing menghadapi sembilan pertuduhan dengan Badaruddin dituduh mengikut Seksyen 23(1) ASPRM manakala Mustafa Kamal dituduh mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama kerana bersubahat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azlan Basri manakala kedua-kedua tertuduh diwakili peguam Shamsul Sulaiman.

Di akhir prosiding, Shamsul memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman dan denda selama dua minggu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, mahkamah menaikkan jumlah jaminan RM8,000 seorang dengan dua penjamin selain kedua-dua tertuduh diarah menyerahkan pasport perjalanan serta melapor diri di pejabat SPRM sementara menjalani hukuman.