MALAYSIA

Pensyarah rugi lebih RM200,000 diperdaya skim pelaburan tidak wujud

Bernama 16/09/2025 | 13:45 MYT
Azli berkata mangsa yang tertekan pautan itu secara tidak sengaja telah diberi tiga pilihan pelaburan bermula daripada skim serendah RM300. - Gambar hiasan/Freepik
KUALA TERENGGANU: Seorang pensyarah wanita sebuah universiti di Kuala Nerus kerugian sebanyak RM244,925.61 selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 14 Ogos lepas mangsa yang berusia 56 tahun menerima pesanan WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang mengandungi iklan pelaburan berserta pautan untuk menyertai skim ditawarkan.

Beliau berkata mangsa yang tertekan pautan itu secara tidak sengaja telah diberi tiga pilihan pelaburan bermula daripada skim serendah RM300.

"Mangsa telah membuat pelaburan sebanyak RM300 dan dijanjikan keuntungan sebanyak RM14,000 oleh suspek.

"Bagaimanapun, untuk mengeluarkan keuntungan itu, mangsa perlu membuat sejumlah bayaran dengan membuat pindahan wang ke beberapa akaun yang diberikan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa membuat bayaran ke 18 akaun bank berbeza menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Kerja (KWSP) miliknya bermula dari 20 Ogos hingga 10 Sept lepas.

"Mangsa yang gagal mendapatkan wang keuntungan membuat laporan polis pada 10.56 malam tadi. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA



#WhatsApp #KWSP #skim pelaburan #laporan polis