Profesor Dr Azmi Shariff daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) diiktiraf sebagai Saintis Terbaik Negara (TRSM) oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) atas sumbangan signifikan dalam bidang penyelidikan.

UTP dalam satu kenyataan hari ini menyatakan Azmi mempunyai kelebihan serta kelayakan untuk diiktiraf sebagai saintis penyelidikan pertama daripada UTP yang diberi penghormatan seumpama itu.

Menurut kenyataan itu, Azmi merupakan seorang daripada 14 saintis terbaik yang diiktiraf ASM.

Sehingga kini, 110 penyelidik dan saintis merupakan antara sebahagian daripada pangkalan data TRSM dengan 99 daripada mereka adalah daripada universiti awam, lima (universiti swasta) manakala bakinya daripada institut penyelidikan.

Semangat Azmi menjalankan penyelidikan dan inovasi timbul sejak beliau mengikuti pengajian prasiswazah apabila menjadi sebahagian daripada kumpulan perintis program Ijazah Kejuruteraan Kimia di UTP.

"Setelah tamat pengajian, Azmi menjawat jawatan Pegawai Penyelidik dan terlibat dalam persekitaran penyelidikan serba mencabar.

"Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang 'Process Integration' di Victoria University of Manchester, United Kingdom dan Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Kimia di University of Leeds, UK," menurut UTP.

Azmi kini dipertanggungjawab menerajui Pusat Penyelidikan Carbon Dioxide (CO2) Capture Research dan Advanced Process Safety Research, terlibat secara langsung dalam pelbagai projek penyelidikan terutamanya industri minyak dan gas.

Menurut kenyataan itu, Azmi kini terlibat mengendalikan dua projek utama dalam pengurusan CO2 serta proses reka bentuk keselamatan bagi industri.

Sementara itu, Azmi berkata pengiktirafan yang diberi TRSM merupakan suatu penghormatan terhadap usaha dan sumbangan beliau ke arah memenuhi pencapaian standard yang ditetapkan ASM.

"Harapan saya agar pengiktirafan ini akan jadi perangsang kepada penyelidik dan saintis lain terutama daripada UTP untuk berusaha keras dalam bidang serta kepakaran masing-masing supaya bersama-sama menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara menerusi bidang penyelidikan," katanya.

TRSM yang diperkenalkan ASM lima tahun lepas bertanggungjawab mengenal pasti serta mengiktiraf saintis penyelidikan terkemuka yang aktif menghasilkan pengetahuan baharu bagi memperkenal penemuan terkini selain mempunyai potensi sebagai penyumbang kepada transformasi sosio ekonomi negara.